Welson berazam tebus kehampaan di Hanoi

Welson Sim Wee Sheng
Welson Sim Wee Sheng
A
A
A

PERENANG sensasi negara, Welson Sim Wee Sheng bertekad merampas semula pingat emas Sukan SEA Vietnam pada Mei ini selepas gagal mempertahankannya pada Sukan SEA 2019 lalu di Manila.

Welson meraih dua pingat emas pada acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum kehilangan pingat itu di Filipina apabila sekadar membawa pulang pingat perak dalam kedua-dua acara terbabit.

"Acara 200m dan 400m gaya bebas adalah kegemaran saya dan tahun ini saya pasti akan menumpukan perhatian untuk merampas kembali takhta pada Sukan SEA akan datang," katanya selepas menyambut ketibaan Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di KLCC di sini pada Isnin.

Selain Sukan SEA, pemegang rekod kebangsaan dalam tiga acara termasuk 100m gaya bebas itu juga berhasrat untuk mencipta kejayaan pada Sukan Komanwel Julai ini serta Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September.

Justeru, Olimpian dua kali itu memberitahu beliau telah meningkatkan intensiti latihan menjelang tiga temasya sukan utama tahun ini dalam usaha untuk menyerlah dan memecahkan rekod kebangsaannya sendiri.

Dalam pada itu, Welson gembira melihat kebangkitan perenang muda, Khiew Hoe Yean dan keadaan itu pasti mendorongnya bekerja lebih keras untuk kekal sebagai perenang terbaik negara.

"Saya tidak akan menjalani latihan di luar negara tetapi berada di sini untuk membuat persediaan tiga temasya utama tahun ini," katanya.

Hoe Yean mula mendapat perhatian selepas merangkul lapan pingat emas dalam Kejohanan Renang Jemputan Malaysia pada Mac 2020, seterusnya pada Terbuka Malaysia ke-63 pada Jun tahun lalu walaupun berbulan-bulan tidak beraksi akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perenang berusia 19 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan masa 2:00.80 saat (s) bagi memadamkan rekod lama dipegang Alex Lim Keng Liat 2:00.94s dan memperbaiki rekod 800m gaya bebas selepas mencatat masa 8:06.00s bagi memadam rekod milik Welson 8:09.77s.

Sementara itu, penerjun wanita negara Wendy Ng Yan Yee yang turut mengambil bahagian dalam acara pada Isnin turut berharap dapat mewakili negara dalam tiga temasya sukan itu tahun ini.

Beliau juga berhasrat untuk bangkit semula dengan lebih kuat berikutan prestasi mengecewakan pada Olimpik Tokyo 2020 setelah gagal layak ke separuh akhir apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ke-20 pada pusingan kelayakan.

Larian Baton Ratu itu diadakan di pelbagai lokasi di dunia menjelang Sukan Komanwel yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos tahun ini dan Malaysia merupakan hentian ke-29 dalam kalangan 72 negara yang terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!