Selangor FC ‘untung’ selepas perpindahan dua pemain pertahanan
JUARA Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor FC tampak tidak rugi apa-apa meskipun terpaksa melepaskan dua tonggak pertahanan Muhammad Syahmi Safari dan Rodney Calvin.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya mendapat ‘durian runtuh’ selepas memberi ‘lampu hijau’ kepada kedua-dua pemain terbabit meninggalkan The Red Giants.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah yang diterima Selangor FC selepas Syahmi menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Rodney berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.
“Kami tidak melepaskan Syahmi dan Rodney begitu sahaja tanpa membuat sebarang keuntungan. Kami masih berjaya ‘buat duit’ yang banyak selepas mereka meninggalkan Selangor FC.
“Sebab kedua-dua kelab itu (JDT dan KDA FC) ada bayar kepada kami. Tapi jumlah kedua-dua kelab itu bayar kita tidak boleh diberitahu, undisclosed,” katanya baru-baru ini.
Terdahulu, Syahmi yang masih mempunyai kontrak sehingga 2023 dilepaskan lebih awal bagi membolehkan dia menyertai skuad Harimau Selatan.
Rodney pula sah menjadi pemain tetap KDA FC selepas pemain pertahanan berdarah kacukan Malaysia-Ghana itu mengikat kontrak selama dua musim.
Dalam pada itu, Johan berkata, Selangor FC menyasarkan untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia atau sekurang-kurangnya Piala AFC musim depan.
“Harapan pengurusan dan peminat pada musim 2022 cukup tinggi untuk melihat Selangor FC untuk merealisasikan sasaran tersebut seterusnya berada dalam kelompok tiga terbaik Liga Super.
“Kita akan menggunakan pemain muda yang mana majoritinya sudah beraksi dalam pasukan utama. Sekarang ini, mereka wajib capai sasaran beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.
“Tekanan memang ada, namun ia bukanlah masalah memandangkan pasukan sudah semestinya akan bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!