Rumah pusaka terbakar, 11 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
SUNGAI PETANI - Seramai 11 sekeluarga nyaris maut dalam satu kebakaran di Kampung Masjid,Tikam Batu di sini kira-kira jam 9.40 malam Isnin.
Mangsa, Nurul Aina Marzuki, 18, berkata, ketika kejadian, dia baharu sampai ke rumah sepupu dan juga jiran, Kamaliah Aziz, 30, yang tinggal dua beradik bersama seorang abang, untuk makan malam setelah mengetahui ramai ahli keluarga lain pulang ke kampung.
Menurutnya, kesemua 11 ahli keluarga berusia antara tiga hingga 30 tahun, termasuk enam kanak-kanak tidak sedar rumah pusaka itu terbakar sehinggalah terdengar tiga letupan kecil dari tingkat atas.
"Masa tengah makan, ada bunyi letupan kecil, kami ingat abang sepupu tengah buat kerja di atas, tetapi bunyi berturut-turut sampai tiga kali.
"Sepupu mula rasa tak sedap hati bila ada serpihan habuk jatuh ke lantai, bila dongak ke atas nampak api sudah marak, membuatkan kami semua lari menyelamatkan diri, termasuk membawa keluar enam kanak-kanak berusia antara 3 hingga 8 tahun.
"Nasib baik kami semua sempat," katanya.
Menurut Nurul Aina, disebabkan cemas dan suasana kelam-kabut, mereka keluar sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga.
Disebabkan kejadian, dia terpaksa membawa sepupu tinggal bersama setelah tiada tempat berteduh.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, kebakaran membabitkan tiga buah rumah.
Menurutnya, sebuah rumah terbakar 90 peratus manakala kebakaran membabitkan dua buah rumah lagi meliputi 10 dan 5 peratus.
"Dua buah motosikal dan sebuah kereta hangus terbakar manakala tiga buah kereta lagi turut terjejas dengan peratus kebakaran mencecah 5 hingga 35 peratus.
"Kita menerima maklumat seramai 11 mangsa berjaya menyelamatkan diri dan operasi pemadaman telah menyebabkan api berjaya dikawal dari merebak ke dua buah rumah berdekatan,"katanya.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan pada jam 9.40 malam dan sampai 7 minit kemudian.
"Seramai 32 anggota lain-lain pangkat terlibat membabitkan BBP Tikam Batu, Sungai Petani, Aman Jaya, selain bantuan pasukan bomba sukarela,"katanya.
Jelasnya, operasi berjaya dikawal pada jam 10.02 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 11.13 malam.
Punca dan kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!