'Strategi khemah besar hanya mudaratkan PH, PKR'
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) boleh menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya menggunakan strategi yang betul.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, bagi memastikan kemenangan itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor perlu menjadi tulang belakang PH dalam menghadapi PRN Johor.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor menegaskan, strategi 'khemah besar' menggabungkan PH dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam PRN Johor hanya akan memudaratkan PH dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Strategi khemah besar hanya akan memudaratkan PKR dan PH. Saya percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh dikalahkan dalam PRN Johor.
"Dengan PKR yang memimpin PH dan menjadi tulang belakang disertakan dengan strategi yang betul, kita boleh mengulangi lagi kejayaan kita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan UMNO dan BN di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama menyatakan hasrat mereka bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor supaya bersama-sama di bawah satu khemah besar.
DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhati-hati dalam membuat keputusan Majlis Presiden PH untuk PRN tersebut dan perlu mengutamakan parti beliau sendiri.
Katanya, Anwar yang juga Pengerusi PH tidak seharusnya mengorbankan kepentingan PKR pada kali ini sepertimana berlaku dalam PRN Sabah, Melaka dan Sarawak yang menyaksikan parti itu kalah.
Menurutnya, ini termasuk sama ada menggunakan logo PH atau PKR dalam PRN itu yang akan diputuskan Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.
"Anwar cukup tahu keinginan popular dan 'mainstream' dalam PKR yang apabila diasak-asak, maka para anggota parti reformasi itu bersedia untuk bergerak solo dalam PRN Johor, hatta dalam PRU15 nanti.
"Bukan satu rahsia lagi bahawa anggota dan penyokong PKR mendesak supaya logo PKR digunakan PH dalam PRN Johor.
Anwar cukup memahami perasaan aktivis-aktivis PKR yang semakin lantang bersuara 'bukan kita tidak sayangkan PH tetapi kita lebih utamakan kemenangan PKR.
"Saya amat ngeri membayangkan PKR dan PH kalah dalam PRN Johor kerana strategi yang salah.
"Pertanyaan saya sebagai seorang anggota PKR yang minta Anwar fikirkan ialah persoalan adakah PH dengan strategi khemah besar itu akan menguntungkan PKR," soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!