Kampung Kelongkong 'diserang' babi hutan

Video memaparkan babi hutan berkeliaran di Kampung Kampung Kelongkong, Tanjung Kling.
Video memaparkan babi hutan berkeliaran di Kampung Kampung Kelongkong, Tanjung Kling.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di sini bimbang dengan ancaman puluhan babi hutan yang berkeliaran di kawasan rumah dan merosakkan tanaman di kebun sejak bulan lalu.

Kelmarin tular di media sosial satu video berdurasi 40 saat dirakam penduduk kampung memaparkan beberapa ekor babi hutan berkeliaran di hadapan rumah mereka sehingga menimbulkan suasana panik.

Menceritakan detik cemas itu, penduduk, Comel Khudrat, 62, berkata, dia hampir cedera selepas tersadung di pintu rumahnya gara-gara terkejut melihat kemunculan beberapa ekor babi hutan berkeliaran di laman dan menuju masuk ke kawasan rumah.

"Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, saya baharu selesai membasuh baju di luar rumah sebelum nampak haiwan tersebut.

"Saya terus berlari menyelamatkan diri sehingga tersadung di pintu masuk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Selasa.

Rahimah
Rahimah

Seorang penduduk, Rahimah Kassim, 76, berkata, sepanjang lebih 50 tahun menetap di kampung itu, dia belum pernah melihat haiwan berkenaan kerap muncul dalam jumlah yang banyak.

"Sejak bulan lalu banyak babi datang ke kampung ini, pernah mak cik nampak penduduk kampung berlari ke sana ke mari dikejar babi.

Artikel Berkaitan:

"Rata-rata penduduk memang dah takut nak keluar rumah sebab babi banyak beranak pinak berkeliaran," katanya.

Abu Bakar menunjukkan kebunnya yang diceroboh babi hutan.
Abu Bakar menunjukkan kebunnya yang diceroboh babi hutan.

Pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, berkata, dia mengalami kerugian apabila banyak tanaman diusahakannya musnah disondol babi hutan.

"Banyak pokok ubi dan pisang yang saya tanam disondol babi hutan hingga rasa putus asa. Harap ada pihak berkenaan ambil tindakan

"Saya juga terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah keselamatan sekiranya diserang," katanya.

Sementara itu Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya mewujudkan 'task force' untuk menembak babi hutan di kawasan dikenal pasti.

"Kita faham kehadiran babi hutan menjejaskan hasil petani. Oleh itu, kita mewujudkan 'task force' untuk musnahkan babi hutan

"Kalau dulu mungkin kita cari melalui aduan, sekarang buat rondaan di kawasan sering terima aduan," katanya.

Beliau berkata, penduduk usah risau berkenaan babi hutan yang didakwa dijangkiti wabak Demam Babi Afrika.

"Di Melaka babi yang terkena wabak adalah babi ternakan dan bukannya babi hutan, jadi jangan risau.

"Lagipun ia tidak memberi kesan apa-apa kepada manusia, cuma babi hutan merosakkan tanaman dan merunsingkan pekebun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!