Harga sawit tinggi, pencuri ambil kesempatan

Buah sawit menjadi buruan pencuri berikutan harga tinggi komoditi tersebut di pasaran kini
Buah sawit menjadi buruan pencuri berikutan harga tinggi komoditi tersebut di pasaran kini
A
A
A

KUANTAN - Kenaikan harga buah sawit menarik perhatian mereka yang mengambil jalan mudah dengan mencuri sekaligus menimbulkan kembimbangan kepada peneroka di negeri ini

Situasi itu difahamkan sudah lama berlaku namun kenaikan harga komoditi sejak kebelakangan ini menyebabkan ia semakin menjadi buruan mereka.

Harga buah tandan segar (BTS) kini mencecah hingga RM1,200 satu tan.

Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar,70 memberitahu, masalah tersebut telah berlarutan sekian lama.

"Namun ia masih belum dapat diatasi sepenuhnya selagi wujud golongan kurang bertanggungjawab yang mengambil kesempatan mencuri hasil peneroka.

"Memang ia merugikan peneroka kerana dengan setiap hasil curian ia boleh mencecah angka ribuan dan menjejaskan pendapatan kami," katanya yang juga peneroka Felda 23 di Jengka.

Ujarnya, pencuri mengambil kesempatan pada waktu-waktu tertentu dan mengakui langkah tambahan dengan pemantauan di ladang dari semasa ke semasa perlu dilakukan untuk membanteras kegiatan tersebut.

Ketua Peneroka Felda 24, Razak Daud mengakui kegiatan mencuri sawit sedang rancak berlaku ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya cadangkan supaya mewujudkan semula unit Felesco yang kini diganti polis bantuan untuk membantu membanteras kecurian buah sawit.

"Jika tidak sampai bila peneroka terpaksa tanggung kerugian sebegini kerana mereka yang ambil kesempatan ketika harga komoditi ini naik," ujarnya lagi.

Ketua Peneroka Felda Sungai Retang di Jerantut, Mohd Hafizan Umar, 44, mendakwa individu dan kumpulan tersebut menggunakan lori dan motosikal menjalankan aktiviti mencuri pada waktu siang dan malam.

"Untuk menangani kecurian berterusan, warga Felda perlu turun lebih kerap ke ladang masing- masing," tambahnya.

Katanya, warga Felda bersyukur dengan harga sawit yang tertinggi dalam sejarah tetapi mereka tidak dapat menikmatinya secara maksimum.

Tegasnya, masalah membelenggu peneroka ialah masalah tenaga buruh penuai sawit dan kenaikan melambung harga baja dan racun.

Dalam pada itu, peneroka Felda Jengka 1, Abdullah Ani, 64, berkata, pencuri sawit mungkin tergoda melihat buah sawit yang masak di pokok tetapi tidak dituai pemiliknya selain faktor tarikan harga tinggi di pasaran.

Tambahnya, isu ketiadaan buruh ladang yang sudah berlarutan lebih dua tahun menyebabkan ada peneroka tidak dapat menuai sawit mengikut dua pusingan sebulan dan berharap kerajaan segera bertindak membawa kembali buruh asing di ladang milik peneroka yang dimamah usia.

Sementara itu, seorang peneroka dari Felda Kemasul di Bentong, Mohd Shariff Ariffin,68 mengakui situasi kenaikan harga sawit pada masa ini menyebabkan ada mereka yang mengambil kesempatan dengan jalan mudah mencuri komoditi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!