Pertemuan BAM- Zii Jia capai hasil positif
KEMELUT antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia hampir menemui titik penyelesaian, selepas kedua-dua pihak mencapai keputusan positif dalam sesi pertemuan di sini.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos memaklumkan kedua-dua pihak dilihat berpuas hati dengan hasil pertemuan, yang membincangkan mengenai rayuan dihantar pemain nombor tujuh dunia itu pada Isnin.
"Pertemuan itu adalah amat positif dan saya fikir kita temui jalan untuk kedua-dua Zii Jia dan BAM.
"Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah, membawa perkara ini kepada ahli majlis BAM untuk diputuskan secara rasmi, dan kami akan buat pengumuman minggu hadapan, tetapi apa yang pasti, ia adalah satu keputusan yang baik untuk BAM dan Zii Jia,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia pada Selasa.
Jahaberdeen berkata, pihaknya ‘tidak bermusuh’ dengan sesiapa termasuk Zii Jia dalam isu berkenaan, selain percaya juara Seluruh England 2021 itu pastinya gembira dengan keputusan berkenaan dan apa yang lebih penting adalah kesimpulan dicapai itu demi kebaikan sukan badminton negara.
Ditanya sama ada BAM menerima tekanan pihak luar bagi menyelesaikan isu tersebut, Jahaberdeen berkata, ia sama sekali tidak berlaku, kerana badan induk itu sentiasa konsisten dengan pendirian mengenakan hukuman kepada mana-mana pemain yang melanggar syarat perjanjian dalam kontrak ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan rayuan dibuat pemain, sekiranya mereka didapati melanggar terma kontrak.
"Kami lihat Zii Jia memang minat sungguh-sungguh dan kami buat keputusan kenapa tidak kami bantu dia jika ia tidak merosakkan BAM dan pemain lain...kita nak majukan semua pemain termasuk Zii Jia tanpa ganggu gugat peluang pemain Malaysia.
"Karier Zii Jia panjang lagi, sudah tentu BAM sebagai badan pentadbir tak kira pemain profesional atau bukan profesional, kita akan bantu bimbing pemain,” katanya.
Jumaat lalu, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.
Ia berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lalu, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup ditetapkan di BAM.
Bagaimanapun, BAM pada Selasa mengesahkan bahawa Zii Jia telah menghantar rayuan mengenai keputusan itu, dan berjanji ia akan mencari penyelesaian terbaik dengan segera.
Dalam pada itu, Jahaberdeen turut mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rayuan serupa dilakukan Zii Jia, daripada juara remaja dunia Goh Jin Wei setakat ini.
Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lalu sebelum membuat pusingan-U untuk bergerak sebagai pemain profesional, turut tidak akan didaftar untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!