Air dicincang tidak akan putus...

Zii Jia bersama keluarganya ketika mengadakan pertemuan dengan Norza. - Foto FB Lee Zii Jia
Zii Jia bersama keluarganya ketika mengadakan pertemuan dengan Norza. - Foto FB Lee Zii Jia
A
A
A

IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk kembali meneruskan karier badminton pada masa depan tampak positif selepas pemain nombor tujuh dunia itu bersama keluarga mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

"Saya berbesar hati untuk mengadakan pertemuan peribadi dari hati ke hati dengan Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria bersama ibu bapa saya.

Saya gembira kerana kami kini menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk menjadi pemain profesional," tulisnya di laman media sosialnya pada Selasa.

Pada masa sama jelas pemain berusia 23 tahun itu menegaskan akan sentiasa menjadi produk badan induk badminton negara tersebut dan Malaysia pada masa depan.

"Pencapaian masa lalu dan masa depan saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.

Saya sentiasa bersyukur kerana Tan Sri membimbing, mengasuh dan memberi peluang untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai.

"Pada masa ini, saya akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia. Saya harap kesimpulan ini menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia dan peminat badminton.

Teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut diasuh oleh BAM kerana akhirnya kita adalah satu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada Jumaat mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari lalu.

Ia berikutan keputusan juara Seluruh England itu yang menghantar surat permohonan untuk keluar daripada badan induk pada 11 Januari lalu, bagi membolehkannya bergerak sebagai pemain profesional.

Pada masa sama BAM mengesahkan pemain kelahiran Alor Setar itu telah pun menghantar surat rayuan susulan keputusan yang diputuskan BAM pada 21 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!