DBKL teliti, tingkat ciri keselamatan kolam biru di RoL
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti kaedah terbaik bagi meningkatkan ciri keselamatan di kawasan Kolam Biru di Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) susulan insiden kanak-kanak terjatuh yang tular sejak Khamis.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagaimanapun berkata, DBKL telah menutup bahagian kolam yang terdedah dan tidak dipagar itu, menggunakan papan platform selain meletakkan penghadang jalan di kawasan tersebut, sebagai langkah sementara.
“Bahagian kolam yang dikatakan ‘berlubang’ dan tidak diletakkan platform dan pagar itu bukannya rosak, sebaliknya memang direka bentuk seperti itu bagi membolehkan pengunjung menikmati dan merasai sendiri kebersihan sampel air sungai hasil projek RoL,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi 47 saat memaparkan aksi kanak-kanak berlari dan jatuh ke dalam kolam paras buku lali itu, disertai kapsyen yang memberi bayangan kanak-kanak tersebut berisiko untuk jatuh ke dalam sungai yang terdapat di bawah kolam berkenaan.
Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan dan netizen yang mempertikai dan menzahirkan kebimbangan berkenaan reka bentuk kolam tersebut, yang dilihat mampu mengancam keselamatan pengunjung.
Sementara itu, Shahidan berkata, DBKL akan membantu memperbaiki kerosakan bumbung yang tercabut melibatkan empat blok Pangsapuri Taman Melati di sini, disebabkan angin kencang dan hujan lebat petang semalam.
“Situasi ini termasuk kategori bencana, yang mana ada diperuntukkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) semasa kejadian banjir tempoh hari,” katanya sambil menambah jumlah kos baik pulih masih diteliti.
Beliau berkata DBKL juga akan menguruskan penempatan sementara mangsa melibatkan 40 unit pangsapuri berkenaan, sehingga kerja baik pulih selesai.
Semalam beberapa gambar kejadian pokok tumbang dan bumbung terbang di Taman Melati, Gombak tular di media sosial.
Shahidan sebelum itu menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM40,000 oleh DBKL kepada 200 golongan asnaf dan miskin di Parlimen Batu dengan masing-masing menerima RM200 sempena Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 1 Februari depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!