Trend seludup dadah di sempadan negara meningkat
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan trend penyeludupan dadah di kawasan sempadan negara semakin meningkat.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes penyeludupan membabitkan negara jiran bukan perkara baharu dan ia sentiasa dipantau pihak berkuasa.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) ada membuat rampasan dadah di Perlis dan Kelantan pada 18 dan 21 Januari lalu.
"Memang trend penyeludupan dadah meningkat, namun kita berkolaborasi mantap dengan agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PGA di sempadan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.
Ayob Khan berkata, isu penyeludupan dadah itu akan berterusan dan tidak akan habis.
"Penyeludup akan cari kelemahan pegawai untuk membolehkan bahan terlarang dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.
Ditanya operasi di pusat hiburan, Ayob Khan berkata, perkara itu adalah rutin biasa pasukan JSJN.
“Kita juga ada Op Tapis Khas, namun ia memfokuskan 'tokan' dan sarang penagih dadah untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!