8 penjawat awam catat nama dalam MBOR kayuh basikal tanpa henti

Mohd Zuki (tengah) mengayuh basikal di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Kayuhan Basikal Berkumpulan Paling Lama di Litar Antarabangsa Sepang pada Selasa. - Foto Bernama
Mohd Zuki (tengah) mengayuh basikal di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Kayuhan Basikal Berkumpulan Paling Lama di Litar Antarabangsa Sepang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Lapan anggota perkhidmatan awam menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada Selasa menerusi program Kayuhan Basikal Berkumpulan Paling Lama setelah berjaya menamatkan kayuhan basikal tanpa henti selama 24 jam sejauh 726.13 kilometer di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Mereka merupakan ahli pasukan Cycling Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) yang diketuai Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Norhasmat Abdul Aziz.

Program itu turut disertai enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Asisten Superintendan Mohd Faizal Amir, Koperal (Kpl) Nik Mohd Azwan Zulkifle, Kpl/S Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, L/Kpl/S Muhammad Elmi Jumari, Konst/S Muhammad Ameen Ahmad Kamal dan Konst/S Muhammad Ameer Ahmad Kamal serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Muhammad Azran Ridzwan.

Mereka telah memulakan kayuhan pada jam 7 pagi Isnin dan berakhir pada 8 pagi Selasa dengan melengkapkan 131 pusingan tanpa henti di litar SIC.

Mengulas kejayaan tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kejayaan membanggakan itu wajar dicontohi oleh 1.6 juta penjawat awam negara ini dengan menjadikan aktiviti bersukan sebagai budaya hidup bagi meningkatkan kecergasan serta tahap kesihatan.

Mohd Zuki Ali (tengah) bergambar kenangan bersama lapan pelumba Maksak di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Kayuhan Basikal Berkumpulan Paling Lama di Litar Antarabangsa Sepang pada Selasa. - Foto Bernama
Mohd Zuki Ali (tengah) bergambar kenangan bersama lapan pelumba Maksak di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Kayuhan Basikal Berkumpulan Paling Lama di Litar Antarabangsa Sepang pada Selasa. - Foto Bernama

"Kerajaan amat berbangga dengan kesungguhan semua atlet Cycling Maksak ini. Aktiviti yang dapat meningkatkan kecergasan serta tahap kesihatan sekali gus akan memberi impak positif terhadap penyampaian perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta terbabit.

Dalam pada itu, Norhasmat berkata, mereka telah berlatih sejak Oktober lepas dengan sasaran untuk menempa nama dalam MBOR.

Artikel Berkaitan:

"Seminggu sebelum kayuhan ini, kami kayuh dari Putrajaya ke Desaru, Johor dan Johor ke Melaka untuk uji stamina,” katanya yang bersyukur atas kelancaran program kayuhan itu dan berbangga dengan semangat ditonjolkan anggota pasukannya.

Berkongsi cabaran dihadapi sepanjang kayuhan itu, beliau berkata, cuaca panas dan keletihan sama sekali tidak melunturkan semangat pasukannya untuk melengkapkan kayuhan.

"Apa yang pasti, kami sudah bersedia dengan mental yang kuat selepas menjalani sesi latihan secara fizikal,” kata anak kelahiran Perak itu. - Bernama