Faizal harap golongan muda guna hak Undi18 dengan bertanggungjawab

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Golongan muda yang mendapat peluang mengundi menerusi pelaksanaan Undi18, diminta untuk menggunakan hak baharu itu dengan bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hak itu yang bakal dilaksanakan bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, perlu digunakan secara baik dan diambil serius oleh golongan muda demi masa depan dan kepentingan negara.

"Saya percaya kita akan lihat (Undi18) pada PRN Johor tak lama lagi. Ia agak menarik bagi kami untuk melihat bagaimana kecenderungan anak-anak muda berumur 18 tahun ke atas, menggunakan hak baharu mereka dengan bertanggungjawab.

"Ini sesuatu yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa ingatkan, supaya hak baharu ini bukan untuk cuba mencuba, untuk gurau diguraukan atau dimain-mainkan, tetapi diguna dengan penuh bertanggungjawab,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara di sini pada Selasa.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Disember menyatakan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas berkuat kuasa pada 15 Disember lepas.

Berikutan itu, dilaporkan bahawa berlaku pertambahan lebih kurang 700,000 pengundi baharu dalam kalangan anak muda yang layak mengundi pada PRN Johor, meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi secara keseluruhan.

Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor, untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa satu mesyuarat khas untuk menentukan tarikh PRN Johor ke-15 akan diadakan pada 9 Februari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!