[VIDEO] Wartawan cilik minat jadi cef
SUNGAI PETANI - Kepetahan berbicara ketika melaporkan penemuan ular sawa yang ditemui dalam longkang menjadikan seorang kanak-kanak dari Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau di sini digelar sebagai wartawan cilik.
Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, berkata, tidak menyangka cubaan pertama kali memuat naik video secara langsung berhubung penemuan seekor ular sawa dan menceritakan kejadiaan terbabit di media sosial membuatkan dirinya dikenali ramai.
Menurutnya, sebelum ini sering berkongsi video masakan yang menjadi kegemaran masa lapang di mana hasil masakan dijual kepada orang ramai bagi tujuan menabung.
"Selepas waktu sekolah, saya bantu ayah dan ibu jual sayur di pasar tetapi saya lebih suka memasak sehingga ramai rakan-rakan dan cikgu memanggil saya dengan nama Cef Haziq.
"Antara masakan saya ialah kek marble, garlic bun, siakap tiga rasa, donut dan lain-lain.
"Sebelum ini saya selalu muat naik video memasak pelbagai jenis masakan selain berkongsi resepi, saya juga mengajar cara-cara memasak melalui video yang dirakam.
"Saya pernah dapat tempahan buat roti dan burger Malaysia dari kakitangan klinik dan hospital,"katanya.
Anak sulung dari dua beradik yang mengidap penyakit talasemia sejak lahir itu pernah mengimpikan memiliki sebuah kedai bakeri suatu hari nanti.
Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau berkenaan dikatakan sering memasak di rumah selain gemar memelihara arnab dan kucing.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tindakan seorang kanak-kanak lelaki yang memuat naik video berhubung penemuan ular sawa yang ditemui dalam longkang secara siaran langsung, menjadi tular di media sosial.
Sehingga kini, video durasi dua minit 47 saat dimuat naik pada Ahad itu meraih lebih 1 juta tontonan, dikongsi lebih 22,000 pengguna, 28,000 tanda suka dan lebih 1,500 komen daripada warganet hingga menjadi bualan ramai dek kepetahan Muhammad Haziq bertutur dalam loghat Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!