ABIM gesa kecam diskriminasi kerajaan India terhadap komuniti Muslim

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan, masyarakat dunia dan badan antarabangsa untuk bersama mengecam kekejaman dan diskriminasi yang dilakukan kerajaan India terhadap masyarakat Muslim negara tersebut.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana dapatan dilakukan oleh pengasas badan pemantau antarabangsa, Genocide Watch, Profesor Gregory Stanton mendakwa bahawa India kini berada daripada tahap kelapan daripada sepuluh peringkat penghapusan etnik.

“Abim menegaskan dapatan Profesor Gregory Stanton perlu diberi perhatian kerana kajian beliau pernah memberi amaran bahawa akan berlaku penghapusan etnik membabitkan etnik Tutsi di Rwanda sebelum peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1994.

“Justeru, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan dunia lain harus bertindak segera terutama pada ketika komuniti Muslim di India kini sedang berhadapan kezaliman peringkat struktural menerusi dasar-dasar diskriminasi kerajaan serta peringkat bawahan.

“Kezaliman ini datang dari tindakan penganut ekstrem Hindu yang meniup api kebencian terhadap Islam hingga membawa kepada pembunuhan dan kekejaman terhadap masyarakat Muslim,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tragedi kekejaman yang berlaku di India itu sekiranya tidak diambil serius oleh masyarakat antarabangsa berpotensi mencetuskan satu lagi malapetaka kemanusiaan di dunia.

Jelasnya, isu tersebut juga bakal membuka pintu kepada berlakunya kebanjiran pelarian ke negara-negara serantau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!