Remaja lelaki dikhuatiri lemas
SEGAMAT- Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dengan adik dan sepupunya di Jeti Nelayan Sungai Chodan, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa, Rafiq Afif Rohaizat, 18 yang beralamat dari Kuala Lumpur dilaporkan mandi bersama adiknya berusia 16 tahun dan seorang sepupu mereka berumur 10 tahun.
“Kesemua mangsa yang sedang mandi tiba-tiba lemas, namun dua daripada mereka iaitu adik dan sepupu mangsa sempat diselamatkan oleh bapa saudaranya yang kebetulan berada di tempat kejadian.
“Mangsa yang tidak sempat diselamatkan kemudiannya hilang di bawa arus sungai. Usaha mencari mangsa dilakukan sebaik laporan dibuat kira-kira jam 6 petang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, difahamkan sewaktu kejadian keadaan air sungai mulai surut.
“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) malam ini terpaksa ditangguhkan jam 8.30 malam tadi ekoran cuaca yang semakin gelap selain keadaan air sungai mulai pasang.
“Misi menyelamat ini akan diteruskan pada awal pagi esok,” katanya.
Terdahulu, empat buah aset keselamatan membabitkan kenderaan polis dan bomba telah ditempatkan di lokasi bagi melancarkan operasi SAR selain turut sama menerima bantuan daripada orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!