Saya tak cakap begitu: Pengerusi PTPTN
SEREMBAN - Pengerusi Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, kenyataannya berhubung kemungkinan melaksanakan semula dasar menyenarai hitam peminjam hutang ke luar negara telah disalah tafsir.
Sebaliknya, jelas beliau, perkara itu adalah antara beberapa cadangan dan maklum balas yang dikumpul daripada orang ramai dan pelbagai pihak dari seluruh negara tentang hala tuju PTPTN.
"Cadangan daripada rakyat ini macam-macam, ada yang kata PTPTN perlu ditutup, ada yang kata hutang patut dimansuh terus, ada yang cadang kita saman peminjam sampai bankrap dan ada yang kata dasar sekatan terhadap peminjam ke luar negara itu baik.
"Tapi pagi tadi ada laporan dan komen kata saya akan laksanakan semula dasar sekatan ke luar negara, saya tak cakap macam itu sebaliknya itu adalah antara cadangan pelbagai pihak," katanya.
Tambahnya,di peringkat PTPTN, pihaknya tidak anggap ia sebagai cadangan rasmi, sebaliknya mengiktiraf pandangan semua rakyat, apa pun, untuk masa sekarang ini, PTPTN tidak lakukan sebarang setakat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Satu Hati bersama penerima bantuan SSPN-i dan ibu tunggal serta asnaf di Terminal One di sini tadi.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Budi yang juga Pengerusi Parti Bersatu Negeri, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, segala input yang diterima PTPTN akan didokumentasi,set erusnya boleh diakses oleh orang ramai pada April nanti.
Beliau menegaskan bahawa PTPTN adalah isu pendidikan dan perlu dibincangkan secara rasional demi generasi akan datang.
"Selama ini, PTPTN dibincang secara politik, ada yang mahu mengambil kesempatan. Sebab itu kita kumpulkan semua data dan perbincangan bukan kerana kepentingan politik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!