Terbuka Australia: Barty melangkah tenang ke separuh akhir
PEMAIN nombor satu dunia dari Australia, Ash Barty tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia di Melbourne Park.
Pemain berusia 25 tahun itu mara ke separuh akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun selepas menewaskan Jessica Pegula dari Amerika Syarikat 6-2, 6-0 dalam masa lebih sejam.
Selepas memenuhi impian zaman kanak-kanak dengan memenangi Wimbledon tahun lalu, Barty kini akan menentang seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Madison Keys untuk pemburuan tempat ke final.
Barty, yang menyasarkan untuk menjadi pemain tempatan pertama sejak Chris O'Neil pada 1978 untuk memenangi Terbuka Australia, masih belum kehilangan satu set dalam kejohanan ini.
"Perlawanan yang sengit, namun saya sangat seronok di sini. Saya dapat melakukan servis dengan baik dan menemui banyak pukulan depan di tengah gelanggang serta saya gembira untuk meneruskan permainan.
"Kemenangan ini adalah penghargaan kepada pasukan saya. Mereka telah melakukan banyak kerja dengan saya di belakang tabir untuk membuat versi terbaik diri saya. Saya suka bermain di sini." ujar Barty.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!