Fadhli intai peluang kembali sarung jersi Harimau Malaya
PERTAHANAN baharu Melaka United FC, Muhammad Fadhli Shas mahu kembali mencipta nama apabila dipinjamkan beraksi dengan skuad Hang Tuah musim ini selepas lapan tahun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, dia mengakui pengalaman sepanjang lapan tahun bersama JDT sejak musim 2014 selain persaingan sengit dalam kelab tersebut menjadikan dirinya lebih matang untuk merebut peluang terbaik.
“Sejujurnya saya tidak ingin menjanjikan sesuatu yang luar biasa, Insya-ALLAH saya akan memberikan yang sebaiknya untuk Melaka United. Saya secara peribadi percaya saya boleh mencapai sesuatu dengan pasukan ini.
“Apabila kita dah bermain secara profesional, tidak kira di mana saya akan diletakkan sebelum ini, sama ada pasukan berada di bawah atau atas, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan.
“Cuma saya mengharapkan sokongan daripada penyokong-penyokong Melaka United untuk kita bersama-sama lihat pasukan mampu meraih kejayaan pada musim ini,” katanya.
Dalam masa sama, bekas tonggak utama skuad Harimau Muda A ini mengakui Melaka United juga dibarisi pemain-pemain berkualiti yang pastinya akan menghadirkan perebutan sengit dalam kesebelasan utama.
Namun, dia mengharapkan kudratnya akan ditagih lebih kerap dalam perlawanan, sekali gus menghidupkan peluang kembali bersama skuad Harimau Malaya.
“Kalau masih diberi peluang, saya tidak menolak rezeki untuk kembali bersama pasukan kebangsaan. Tetapi saya tidaklah meletakkan itu sasaran utama, sebab yang penting adalah untuk beri terbaik kepada Melaka terlebih dahulu.
“Sebelum ini mungkin karier (saya) agak tenggelam sebab beraksi di dalam Liga Premier dan sekarang kembali ke pentas Liga Super. Saya percaya kalau sentiasa konsisten, rezeki untuk beraksi dengan skuad kebangsaan mungkin ada.
“Tapi saya tidak menjanjikan yang saya akan kerap bermain sebab Melaka United pun ada ramai pemain yang bagus, jadi ini akan menjadi persaingan sihat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!