Tanah mendap: 17 premis diarah henti sementara operasi
SHAH ALAM - Sebanyak 17 premis komersial berhampiran kawasan runtuhan tebing longkang utama di Jalan LP1A Lestari Perdana Bandar Putra Permai, Seri Kembangan diarahkan memberhentikan sebarang operasi buat sementara waktu.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan atas nasihat Jabatan Kejuruteraan MBSJ dan bomba.
Menurutnya, pemilik premis juga diminta tidak berada berhampiran kawasan sehingga keadaan disahkan selamat.
"Kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, MBSJ akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pembaikan segera.
Mengulas mengenai kejadian itu, Azfarizal berkata, pasukan Pantas MBSJ menerima maklumat mengenai kejadian tebing longkang runtuh itu daripada pihak bomba pada jam 7 malam dan bergegas ke lokasi.
"Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan kawasan tempat letak kereta dan sebahagian jalan.
"Semasa kejadian terdapat lima kenderaan terlibat di dalam runtuhan tersebut tetapi tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!