Kuasa dakwa kenyataan Abdul Khalim cubaan alih isu

Kuasa mendakwa kenyataan Pengarah JPNK berhubung isu pembalakan yang dikatakan bagus untuk populasi harimau adalah cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap isu sebenar. (Gambar kanan: Meor Razak)
Kuasa mendakwa kenyataan Pengarah JPNK berhubung isu pembalakan yang dikatakan bagus untuk populasi harimau adalah cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap isu sebenar. (Gambar kanan: Meor Razak)
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mendakwa kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) berhubung isu pembalakan yang dikatakan bagus untuk populasi harimau adalah cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat umum terhadap isu sebenar.

Penasihat Kuasa, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kenyataan itu dibuat bertujuan mengalihkan isu sebenar membabitkan kemusnahan habitat menyebabkan harimau dan hidupan liar lain terancam serta hampir pupus.

Dakwa aktivis alam sekitar itu, pelaksanaan projek ladang hutan (ladang monokultur) berskala besar dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan pengubahan guna tanah lain dalam HSK terutama untuk kegiatan perlombongan telah menimbulkan konflik di antara manusia dengan hidupan liar khususnya di Kelantan.

"Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan didapati pelaksanaan projek ladang monokultur dan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK dipercayai dilakukan tanpa kawalan walaupun mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP).

“Pelaksanaan projek ladang monokultur dan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK dipercayai memusnahkan litupan hutan asal atau hutan asli melalui kaedah pengusahasilan atau pembalakan secara tebang habis," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, hampir 28 peratus daripada HSK di Kelantan dipercayai dizonkan sebagai zon pembangunan ladang hutan dan peratusan tersebut tidak termasuk keluasan untuk tujuan perlombongan yang dilakukan dalam HSK.

Justeru katanya, kenyataan Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah bahawa negeri Kelantan mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan mematuhi pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I) di bawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) boleh dipersoal.

“Pensijilan bagi negeri Kelantan sudah digantung sejak 2016 sehingga kini dan salah satu faktor digantung adalah kerana mengusahasil melebihi kuota CTT.

Artikel Berkaitan:

“Penggantungan pensijilan di bawah MTCS adalah salah satu petunjuk bahawa kerajaan negeri dipercayai tidak mempunyai dasar atau iltizam untuk mengurus dan mengusahasil sumber hutan secara mampan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!