Jalan Berkembar Bukit Kukus dicemari sampah

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dibuka pada 13 Januari lalu merupakan lebuh raya tertinggi di Malaysia.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dibuka pada 13 Januari lalu merupakan lebuh raya tertinggi di Malaysia.
A
A
A

GEORGETOWN - Sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini amat dikesali.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tanpa segan silu membuang sampah keluar dari kenderaan semasa memandu amat mengecewakan.

"Kita kesal dengan apa yang berlaku kerana baru dua minggu jalan ini dibuka, sudah ada yang membuang sampah di merata-rata tempat. Kelakuan seumpama ini seolah-olah mereka tidak menghormati keindahan alam sekitar.

"MBPP meminta semua pengguna jalan raya agar menjadikan tabiat membuang sampah di tempat yang betul sebagai sebahagian daripada amalan dan etika yang boleh dibanggakan," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, tular di Facebook mengenai keadaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang tercemar dengan sampah sarap dipercayai dibuang oleh mereka yang singgah di bahu jalan itu.

Jalan berkembar tertinggi di Malaysia itu menjadi perhentian dan tumpuan ramai untuk diambil gambar sehingga terpaksa diminta beredar oleh pihak berkuasa tempatan.

Menerusi gambar yang tular, ia menunjukkan keadaan jalan yang dipenuhi sampah antaranya bungkusan air; puntung rokok; bekas makanan segera, tisu dan plastik.

Dalam pada itu, tambah MBPP lagi, terdapat pengguna jalan raya itu yang tidak menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk swafoto dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kita mendapati, ada dalam kalangan pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk swafoto pemandangan indah selain meninggalkan sampah sarap di situ.

"Sikap ini dilihat tidak mengendahkan keselesaan para pengguna lain yang menggunakan jalan raya itu," katanya.

Sehubungan itu, MBPP telah mengarahkan pekerja pembersihan untuk membersihkan segera sampah sarap di jalan berkembar berkenaan.

MBPP turut berharap semua pengguna jalan raya itu tidak memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk keselamatan semua pihak.

13 Januari lalu, Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) Fasa 1 di sini yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Projek tersebut adalah lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

Projek yang merupakan lebuh raya tertinggi di Malaysia sepanjang 3.825 kilometer (km) itu merupakan laluan alternatif kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!