Tiada graduan Perda-Tech menganggur, 88 peratus dapat pekerjaan

Perda-Tech turut menawarkan kursus jangka pendek dalam bidang jahitan untuk pekerja industri dan orang awam.
Perda-Tech turut menawarkan kursus jangka pendek dalam bidang jahitan untuk pekerja industri dan orang awam.
A
A
A

Penawaran program pengajian yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan menjadikan tiada graduan institusi di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) yang menganggur.

Statistik menunjukkan 75 peratus graduan mendapat pekerjaan yang sama dengan bidang yang dipelajari manakala 13 peratus bekerja di luar dari bidang yang mereka belajar di Perda-Tech.

Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, statistik itu berdasarkan keputusan kaji selidik yang telah dibuat pihaknya ke atas graduan Perda-Tech yang bergraduat pada tahun 2019.

“Ini membuktikan sijil dan diploma mereka diiktiraf dan diterima pakai oleh pemain industri dalam negara.

“Sejak Perda-Tech dinaiktaraf pada 2007, lebih daripada 12 peratus graduan Perda-Tech telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sehingga kini kita telah melatih seramai 10,452 pelajar semenjak Perda-Tech ditubuhkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemubual secara eksklusif selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Diperbaharui) antara Perda dengan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) di Hotel Marriot di sini, pada Jumaat.

Khaliq Mehtab
Khaliq Mehtab

Artikel Berkaitan:

Pemeteraian yang bertujuan memberi nilai tambah kepada program automotif yang ditawarkan Perda itu disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

MoU berkenaan berkuatkuasa bagi tempoh lima tahun bermula 18 Februari 2021 dan akan tamat pada 17 Februari 2026 agar kepakaran teknikal di dalam bidang automotif yang dimiliki PSSB dapat dikongsi bagi mempertingkatkan kemahiran pelajar dan tenaga pengajar Perda-Tech.

Sejarah

Perda-Tech mula beroperasi pada 1989 dengan nama Pusat Latihan Perda (PLP) di Bukit Panchor, Nibong Tebal Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pada awalnya menawarkan tiga kursus jangka pendek iaitu kursus asas kimpalan, kursus asas binaan bangunan dan asas pertukangan kayu.

Pada 16 Disember 2007, dinaik taraf kepada Perda-Tech dengan pelbagai kursus dan bidang pengajian ditawarkan setaraf dengan lain-lain institusi di Malaysia.

Perda-Tech diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bagi mengeluarkan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia (SKM/DKM). Selain itu Perda-Tech turut menawarkan program sijil dan diploma yang diiktiraf oleh MQA.

Kini terdapat tujuh program pengajian peringkat sijil dan enam pengajian peringkat diploma yang diiktiraf MQA, JPK dan Suruhanjaya Tenaga (ST) termasuk bidang automotif.

Belia lepasan sekolah luar bandar diberi latihan kemahiran yang diiktiraf oleh badan akademik, profesional dan industri.
Belia lepasan sekolah luar bandar diberi latihan kemahiran yang diiktiraf oleh badan akademik, profesional dan industri.

Turut ditawarkan, empat kursus jangka pendek (lima bulan) yang dikenali sebagai Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (SAKTI) kepada belia yang tercicir serta kursus peningkatan kemahiran atau ‘upskilling’ jangka pendek dalam pelbagai bidang seperti elektrik, teknologi maklumat (IT), automotif, kimpalan, jahitan dan teknologi pembuatan untuk pekerja industri dan orang awam.

Perda sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga sentiasa bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan silibus pengajian mengikut perkembangan teknologi terkini dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Menurut beliau, Perda-Tech memainkan peranan dalam membantu belia lepasan sekolah terutama di luar bandar untuk mendapatkan latihan kemahiran yang diiktiraf oleh badan-badan akademik dan profesional serta pihak industri.

“Perda-Tech memberi peluang kedua kepada pelajar yang tidak mendapat tempat di mana-mana IPT di dalam negara melalui bidang kemahiran.

“Ia membantu mereka menimba ilmu dan meningkatkan taraf sosial ekonomi diri, keluarga dan masyarakat, sekali gus terbukti mempunyai kesan kepada perubahan ‘mobility’ sosial, kumpulan sasar dan sewajarnya diteruskan,” katanya.

Pertandingan

Perda-Tech melakar kejayaan menerusi penyertaan beberapa pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan Asia untuk mengetengahkan bakat, kebolehan, kemampuan dan kreativiti di kalangan pelajar dan tenaga pengajar.

Antara pertandingan yang disertai adalah Program ‘5th Southeast Asian Agricultural Engineering’ di Politeknik Kota Bharu pada 2019 dan berjaya merangkul pingat perak dalam Program ‘Tractor Parts Identification’, tempat kedua ‘Amazing Race’ dan tempat pertama pertandingan kebudayaan serta memperoleh pingat perak dan gangsa bagi produk inovasi.

“Perda-Tech turut menyertai ‘National Innovation & Invention Competition Through Exihibition’ (iComplex) 2020 dan ‘Asia International Innovation Exhibition’(AIINEX) 2020 serta berjaya merangkul pingat perak untuk kedua-duanya.

“Kita juga diiktiraf Malaysia Book Of Records yang dianugerahkan kepada lima pelajar semester 1 Sijil Teknologi Elektrik dan dua pensyarah Jabatan Teknologi Elektrik kerana penyertaan dalam ‘The Most Member of TVET Student Programming KNX Devices In An Event’ pada 30 September 2019,” jelasnya.

Pada 2019, Perda-Tech dianugerahkan lima bintang bagi tujuh program dan empat bintang bagi satu program di awah (SKM/DKM) oleh JPK dalam Audit Penarafan Bintang bagi tempoh dua tahun bermula 2 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Bagi meningkatkan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), Perda-Tech mempromosikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik seperti penggunaan bahan digital, pengajian kreatif, kerjasama dan perkongsian teknologi terkini serta lawatan berkala ke industri.

“Nilai tambah dititikberatkan seperti Sijil Professional Sisco IT Essential untuk pelajar jurusan IT, Sijil Pendawaian Elektrik Satu Fasa dan Endorsan Pengujian (PW2) untuk pelajar jurusan elektrik.

“Terbaharu kita turut memperkenalkan sistem atau budaya dan persekitaran kerja DOJO (bermaksud rumah untuk latihan) dalam bidang automotif melalui kerjasama Perodua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!