Sorok 11,000 karton rokok seludup dalam semak

Mat Shukor (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri pada Selasa.
Mat Shukor (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 11,000 karton rokok seludup bernilai RM1.6 juta yang disorokkan dalam semak di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri di sini pada Selasa.

Serbuan itu dilakukan menerusi Op Kontraban pada jam 3.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, bertindak atas maklumat pihaknya memulakan risikan terhadap sebuah kereta jenis Proton Ezora dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Pantai Cahaya Bulan di sini.

Menurutnya, pasukan mengekori dua kenderaan itu sehingga ke kawasan Jalan Salor Lama di sini, namun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa mereka memecut laju dan melarikan diri.

"Selepas itu, pasukan tiba di satu kawasan semak di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri di sini yang terdapat kesan tayar kenderaan keluar masuk.

Mat Shukor (kiri) menunjukkan gambar lokasi semak yang menjadi tempat penyeludup menyembunyikan rokok bernilai RM1.6 juta.
Mat Shukor (kiri) menunjukkan gambar lokasi semak yang menjadi tempat penyeludup menyembunyikan rokok bernilai RM1.6 juta.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan menjumpai 220 kotak berbungkus plastik berwarna hitam berisi 11,000 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta termasuk cukai yang disembunyikan dalam kawasan semak itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi penyeludup dipercayai menggunakan pengangkutan kapal dagang bagi menyeludup sejumlah rokok itu melalui perairan negara yang masuk dari Loas dan Vietnam ke Thailand sebelum tiba di negara ini.

"Berdasarkan jumlah rampasan, sindiket ini licik dan berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka juga tidak menggunakan premis malah hanya menyorokkan barangan itu di dalam semak dengan membungkusnya menggunakan plastik hitam,” katanya.

Katanya, harga pasaran rokok seludup antara RM8 sehingga RM10 sekotak dan dipercayai akan dipasarkan ke Terengganu, Pahang dan Johor.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!