UMNO, BN tumpu kempen media sosial
JOHOR BAHRU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada penggunaan media sosial seperti Facebook dan TikTok bagi menarik perhatian pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penggunaan media sosial antara modus operandi kempen BN selepas berlakunya pertambahan besar pengundi muda susulan pendaftaran automatik Undi 18.
"Pengundi muda gemar gunakan Facebook dan Tiktok, jadi BN akan tumpu kempen menggunakan platform media sosial ini.
"Bagi UMNO dan BN kita sudah mula menggunakan media sosial secara meluas sejak PRN Melaka lagi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Comms Johor di Pejabat UMNO Johor.
Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kesemua 26 bahagian UMNO Johor juga sudah bersiap sedia bagi mengaktifkan bilik gerakan di setiap bahagian negeri ini.
"UMNO juga sudah menyiapkan segala bahan penerangan sebagai persediaan kempen terutama penjelasan pelbagai isu supaya ia dapat disampaikan secara berkesan kepada pengundi nanti," katanya.
Dr Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, UMNO Johor akan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya ia dapat menjadi garis panduan bagi melancarkan jentera parti untuk berkempen.
"Kita berharap SPR memperincikan tentang penggunaan media sosial dari aspek sekatan dan kebebasan menggunakan medium atas talian itu sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!