Tetap hadir konvokesyen walau berpantang
KUALA NERUS - Seorang graduan yang masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan cahaya mata tetap hadir ke Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini pada Rabu.
Yus Amira Mohd Yusuf, 26, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Informatik Media) hadir bersama suaminya, Mohamad Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, juga graduan yang sama bagi meraikan kejayaan menamatkan pengajian mereka.
Menurut Yus Amira, majlis konvokesyen itu tetap dihadirinya walaupun baru lima hari bersalin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kerana ia adalah hari bersejarah mereka berdua.
"Pergerakan saya agak terbatas kerana bersalin secara pembedahan jadi, saya kena berhati-hati dan menggunakan kerusi roda sepanjang berada di majlis konvokesyen.
“Saya sudah meminta pandangan dari doktor yang merawat dan dia benarkan saya hadir ke majlis ini dengan beberapa nasihat," katanya yang kini menyambung pengajian peringkat Sarjana di UniSZA.
Yus Amira dan Mohd Amirul Hakim bernikah pada 1 Januari 2021 dan selamat melahirkan cahaya mata lelaki bernama Muhammad UmarAl-Fateh pada 20 Januari lalu.
Beliau berkata, dengan adanya suami bersama di dalam dewan tiada masalah buat dia untuk bergerak dan merakam kenangan sepanjang majlis.
“Kami tidak bawa anak bersama hadir pada hari ini kerana dia masih dirawat di HUSM,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!