Pulihkan ketidaktentuan ekonomi dahulu: Nik Nazmi
SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya memberi tumpuan terhadap ketidaktentuan ekonomi ketika ini yang menyebabkan rakyat terpaksa menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, meskipun isu tersebut menjadi perdebatan setiap masa, namun ia masih kekal tiada jalan penyelesaian oleh kerajaan.
“Kos sara hidup yang tinggi terpaksa ditanggung oleh ketua rumah yang bukan sahaja untuk keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tetapi juga keperluan-keperluan lain.
“Isu kenaikan kos sara hidup ini menjadi perdebatan hangat rakyat di mana-mana. Ia terjadi setiap tahun.
"Walaupun terdapat banyak rungutan dan rintihan daripada rakyat isu kenaikan harga barangan tetapi tiada jalan penyelesaian daripada kerajaan,” katanya dalam stau hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan yang fokus kepada isu kebajikan dan kestabilan ekonomi negara.
Jelasnya, ini setelah rakyat terpaksa mengharungi kehidupan yang mencabar sejak berlakunya pandemik Covid-19 yang bermula pada tahun 2020.
“Sebagai kerajaan, setiap menteri yang dilantik seharusnya mencari jalan memulihkan kesengsaraan rakyat,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini lebih berminat untuk perebutan jawatan dan kuasa dengan mendesak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Eloklah gunakan duit itu untuk stabilkan harga barang dahulu. Rakyat ketika ini tidak mementingkan PRU.
“Yang melihat PRU itu penting hanya orang politik yang mahu kuasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!