Senoi Praaq PGA Batalion 18 tidak gentar ancaman musuh sempadan

Mohd Sail bersama juruterbang, Superintendan Hasli Hassan dan pembantu juruterbang, Asisten Superintendan M Vithayatharan Nair membuat tinjauan udara di sempadan Malaysia -Thailand di Bukit Kayu Hitam pada Rabu.
Mohd Sail bersama juruterbang, Superintendan Hasli Hassan dan pembantu juruterbang, Asisten Superintendan M Vithayatharan Nair membuat tinjauan udara di sempadan Malaysia -Thailand di Bukit Kayu Hitam pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Anggota Senoi Praaq dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 tidak gentar dengan ancaman musuh di sempadan Malaysia - Thailand dalam usaha membanteras jenayah di kawasan terbabit.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 18 Senoi Praaq, Deputi Superintendan Mohd Sail Hassan berkata, anggota batalion berkenaan mempunyai integriti tinggi dan digeruni penyeludup di sempadan.

Menurutnya, kejadian anggota PGA Batalion 3 (Senoi Praaq), mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut ditembak oleh musuh di sempadan dua tahun lalu juga tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang.

"Kita tahu anggota Batalion 3 pernah ditembak oleh penyeludup di kawasan TS9, tetapi saya tegaskan kami daripada Batalion 18 Senoi Praaq, tidak gentar dan takut untuk bertugas.

"Malah kami lebih bersemangat untuk menjaga kawasan keselamatan sempadan Kedah dan Perlis sebab ini melibatkan maruah dan juga kedaulatan negara," katanya ketika ditemui di Markas Taktikal (Martak) PGA Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.

Mohd Sail berkata, PGA menjalankan tiga bentuk penugasan iaitu rondaan kenderaan menggunakan motosikal dan pacuan empat roda, rondaan jalan kaki dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Penugasan secara berkenderaan turut dijalankan untuk menghalang pergerakan penyeludup membolosi sempadan negara.
Penugasan secara berkenderaan turut dijalankan untuk menghalang pergerakan penyeludup membolosi sempadan negara.

"Kesemua bentuk penugasan ini digunakan bagi tujuan pemantauan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke kawasan Batu Putih di Kuala Perlis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anggota bertugas juga memberi tumpuan di kawasan 'hotspot' seperti di TS9 dan TS10 berhampiran pagar sempadan.

"Banyak juga maklumat yang kita terima bahawa penyeludup termasuk ketum dan dadah gemar menggunakan laluan jauh dari kawalan kita di Martak dan subtek (pusat operasi)," katanya.

Katanya, PGU dan anggota di darat sentiasa berkongsi maklumat dan memberi kerjasama dalam penugasan di sempadan terutamanya di kawasan Batu Putih yang tidak berpagar serta tiada tembok.

"Sebaik sahaja terima maklumat daripada PGU, kita akan buat kawalan dan mengambil tindakan serta-merta untuk mencegah kemasukan penyeludup.

"Unit PGU ini lebih kepada tinjauan dan pemantauan kawasan yang tidak boleh dilalui unit rondaan bermotosikal dan juga kenderaan pacuan empat roda.

"Kita juga memerlukan unit udara untuk mengesan aktiviti penyeludupan yang agak jauh dari kawasan pos kawalan sedia ada," katanya.

Tambah Mohd Sail, selain bantuan daripada PGU, mereka juga mempunyai kelengkapan dron di Charlie 6 untuk meningkatkan lagi pengawasan sempadan.

"Jika ada keperluan mendesak, kita akan mohon dron daripada PGU dan sekiranya tiada kita akan gunakan dron sedia ada," katanya.

Menurutnya, Batalion 18 akan menamatkan penugasan pada 3 Februari ini setelah sebulan bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Anggota PGA Batalion 18 melakukan pemantauan di pagar sempadan Malaysia - Thailand di Bukit Kayu Hitam pada Rabu.
Anggota PGA Batalion 18 melakukan pemantauan di pagar sempadan Malaysia - Thailand di Bukit Kayu Hitam pada Rabu.

"Selepas ini, kami akan menyerahkan tugasan kepada Batalion 1 yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak," katanya.

Pada 21 Januari lalu, Batalion 18 turut berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM4.4 juta di kawasan semak sempadan Malaysia - Thailand di Jalan Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis ketika sidang media berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 9.08 malam berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima.

Katanya, dalam kes berasingan, batalion berkenaan turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri yang mengandungi sebutir peluru 12 Bolt yang dimiliki seorang suspek tangkapan ketum di Wang Kelian pada 18 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!