Mazlan bakal tinggalkan Bersatu?
JOHOR BAHRU - Desas-desus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang bakal meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin hangat diperkatakan.
Lebih menguatkan lagi khabar angin apabila media turut mendapat jemputan khas mengenai pengumuman dipercayai beberapa ADUN akan menyertai sebuah parti politik akan diadakan pada Khamis.
Selain itu difahamkan, dua lagi ADUN Bersatu turut mengikuti jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman tersebut.
Bagaimanapun, Mazlan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.
"Tunggu esok, jemput datang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Isnin, Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor akan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.
Ini kerana beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini.
Sebelum itu pada 20 Januari lalu Mazlan dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.
Beliau sebelum ini menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!