Cuaca panas: Bomba siap sedia hadapi kes kebakaran hutan

Bomba sedia menghadapi kemungkinan berlaku kes-kes kebakaran hutan tanah gambut dan belukar ekoran cuaca panas ketika ini. Gambar hiasan.
Bomba sedia menghadapi kemungkinan berlaku kes-kes kebakaran hutan tanah gambut dan belukar ekoran cuaca panas ketika ini. Gambar hiasan.
A
A
A
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku kes-kes kebakaran hutan tanah gambut dan belukar ekoran cuaca panas ketika ini.

Selain memberi tumpuan terhadap kawasan tanah gambut yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran, pemantauan turut dilakukan ke atas kawasan semak belukar yang ditenggelami banjir baru-baru ini.

Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, risiko kebakaran cukup tinggi berlaku di kawasan itu.

"Ia berikutan pokok-pokok renek termasuk lalang yang mati dan kering mudah terbakar lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas.

"Jika tidak ditangani dengan tindakan awal, kita bimbang berlaku kebakaran melibatkan kawasan yang luas dan tidak terkawal," katanya ada sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di sini pada Rabu.

Wan Mohammad Zaidi menyampaikan Sijil Penarafan Bintang (SSR) kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Peramu, Wan Samsul Affendi Wan Mahmud sempena Majlis Perbarisan JBPM Pahang, pada Rabu.
Wan Mohammad Zaidi menyampaikan Sijil Penarafan Bintang (SSR) kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Peramu, Wan Samsul Affendi Wan Mahmud sempena Majlis Perbarisan JBPM Pahang, pada Rabu.

Wan Mohammad Zaidi berkata, kejadian itu boleh berlaku sekiranya ada pihak melakukan aktiviti yang boleh mencetus kebakaran termasuk melakukan pembakaran terbuka atau faktor lain di kawasan tersebut.

Beliau berkata, JBPM Pahang kini sudah bersiap sedia dengan aspek keanggotaan dan logistik dalam berdepan kemungkinan berlakunya kes-kes kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini.

"Semua peralatan termasuk pam mudah alih yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila sekiranya diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menerima enam unit 'fire pump' dari bomba Kuala Lumpur untuk kegunaan dalam operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut dan belukar sekiranya berlaku," katanya.

Menurutnya, bagi kes kebakaran hutan tanah gambut, pihaknya kini sedang memantau beberapa lokasi di sekitar Kuantan, Pekan dan Rompin yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran berdasarkan kejadian pada tahun-tahun sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Zaidi berkata, cuti anggota bomba di negeri ini dibekukan sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Menurutnya, hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti sepanjang tempoh itu.

"Penugasan Ops Tahun Baharu Cina sudah bermula di mana anggota dan jentera kini ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

"Pos operasi dibuka di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah, Temerloh dan Gambang untuk tugas rondaan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kemalangan yang memerlukan operasi penyelamatan segera," katanya.

Menurutnya, pemantauan turut dilakukan ke atas premis yang dijangka menjadi tumpuan ramai sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan premis terlibat bebas daripada bahaya kebakaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!