Pembalakan, penerokaan haram Kelantan tidak serius
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengakui terdapat aktiviti penerokaan dan pembalakan haram yang berlaku di hutan di negeri ini namun dalam keadaan yang tidak serius.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembalakan haram bukan sahaja berlaku di Kelantan malahan turut dihadapi oleh semua negeri di Malaysia.
“Seluruh Malaysia ada isu pembalakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Cuma di Kelantan isu ini tidak serius, maksudnya tidak serius itu apabila ada orang kampung nak buat kebun, nak tanam durian atau kelapa sawit jadi mereka tebang pokok,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, dari segi undang-undang adalah satu kesalahan melakukan pembalakan secara haram dan pencerobohan hutan lebih-lebih lagu di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
“Jabatan Perhutanan Kelantan turun melakukan operasi penguatkuasaan kerana ada maklumat pencerobohan haram.
“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini dan akan mengambil tindakan sekiranya terbukti ada pihak melakukan pembalakan haram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tanggapan pembalakan haram yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan orang asli di Gua Musang adalah tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan dan kenyataan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menyatakan harimau masuk kampung sebab faktor harimau itu kena penyakit menyebabkan haiwan itu merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa.
“Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak, bukan begitu," katanya.
Ujarnya, setakat ini kerajaan itu tidak ada perancangan untuk memindahkan orang asli memandangkan penduduk di situ lebih selesa berada di kampung mereka berbanding lokasi baharu.
“Pada masa sama, Perhilitan meneruskan usaha menjejaki dua ekor lagi harimau daripada tiga kesemuanya selepas seekor ditembak dan percaya masalah ini akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Kami menasihatkan orang asli supaya tidak keluar rumah dan pelbagai pihak akan menghulurkan bantuan kepada mereka bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!