Enam barangan disenarai skim harga maksimum Tahun Baharu Cina
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak enam jenis barangan terkawal disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 (SHMTBC 2022).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, barangan tersebut adalah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup dan daging babi termasuk perut, daging serta lemak.
"SHMTBC 2022 berkuatkuasa Sabtu ini sehingga 4 Februari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, sebanyak 12 jenis barangan telah ditentukan harga maksimum tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sedang berlangsung sehingga 4 Februari depan.
"Ia adalah ayam hidup standard dan super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat dan timun," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMTBC 2022 dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) adalah 18 jenis.
"Barangan tersebut merangkumi kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging babi," katanya.
Alexander berkata, peniaga dan orang ramai boleh menyemak harga bagi barang-barang yang terlibat di bawah (SHMTBC 2022) di laman web Kementerian.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
"Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada KPDNHEP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!