Bukan kali pertama mendapan tanah berlaku

Beberapa buah kenderaan masih di dalam longkang dan belum dikeluarkan sejak ia terjatuh akibat mendapan tanah pada petang Selasa. (Gambar kecil: Alter, Mohd Nazir, Abby Nur Diana)
Beberapa buah kenderaan masih di dalam longkang dan belum dikeluarkan sejak ia terjatuh akibat mendapan tanah pada petang Selasa. (Gambar kecil: Alter, Mohd Nazir, Abby Nur Diana)
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kejadian runtuhan tebing longkang akibat mendapan tanah di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini bukanlah kali pertama ia berlaku, malah ia pernah terjadi sejak tahun 2018.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan runtuhan di sini pada Rabu mendapati lokasi telah dihalang oleh tali kuning oleh pihak polis untuk memastikan tiada orang awam mendekati tempat berkenaan untuk tujuan keselamatan.

Hasil tinjauan turut mendapati premis-premis berdekatan kawasan runtuhan tersebut ditutup setelah diarahkan oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ekoran kejadian tersebut.

Selain itu, pihak kontraktor yang dipercayai dilantik oleh MBSJ dilihat sedang memasang cerucuk besi bagi menghalang runtuhan tanah bertambah teruk

Mohd Nazir Mohd Ghazali, 46, terkilan dengan insiden yang menimpa dirinya apabila kereta pertama yang dibelinya pada 20 tahun lalu tidak dapat diselamatkan dan terjatuh ke dalam longkang akibat mendapan tanah di sini pada petang Selasa.

Mohd Nazir menunjukkan kereta miliknya yang terjatuh ke dalam longkang akibat mendapan tanah di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini pada Rabu.
Mohd Nazir menunjukkan kereta miliknya yang terjatuh ke dalam longkang akibat mendapan tanah di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini pada Rabu.

Mohd Nazir memaklumkan dia dihubungi oleh pemilik bengkel yang membaiki keretanya pada 6.30 petang pada Selasa bahawa keretanya tidak dapat diselamatkan dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat kenderaannya.

"Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku kerana kereta ini dibeli sejak saya mula bekerja pada 20 tahun lalu dan dijaga dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri nampak yang berlaku, memang terkejut bila terlihat keadaan tersebut. Saya reda dan kita cuba untuk lihat apa yang boleh dibuat bagi memperbaiki keadaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Alter Jastan, 39, berkata, rekahan kecil pada permukaan tanah di sekitar lokasi kejadian mendapan tanah tersebut dikesan sejak sebulan lalu.

Dia yang merupakan seorang pemilik bengkel servis dan aksesori kereta di sini sejak 10 tahun lalu berkata beberapa siri aduan pernah dibuat kepada pihak MBSJ tentang pergerakan tanah yang berlaku di sini sejak tahun 2018.

"Aduan pernah dibuat sejak ia berlaku pada tahu 2018, tapi mereka tengok sahaja. Kemudian aduan dibuat lagi, cuma ia (tindakan daripada MBSJ) asyik ditangguh-tangguh.

"Akhir sekali aduan dibuat pada September lalu dan mereka buat pembaikan struktur dan menutupnya dengan kanvas," katanya yang sempat mengalihkan 10 buah kereta di hadapan bengkelnya sebelum runtuhan tebing longkang berlaku.

Dalam pada itu, Abby Nur Diana Ibrahim, 24 terkejut melihat insiden runtuhan tebing longkang akibat mendapan tanah berlaku di depan matanya ketika sedang bekerja di sebuah kedai pakaian hospital di sini.

Abby Nur Diana yang baru bekerja 11 bulan di premis berkenaan melihat kenderaan mula bergerak ke belakang ke arah longkang sebelum runtuhan tanah berlaku ketika dia sedang membuka pintu kepada pelanggannya masuk ke dalam kedai tersebut.

"Pagi tadi saya dimaklumkan bahawa premis ini perlu ditutup keran insiden ini, tapi saya tidak tahu sampai bila, cuma saya tahu mungkin lebih kurang seminggu (tempoh penutupan kedai).

"(Keputusan) pindah (kedai) itu tengok pada syarikat, kalau nampak semakin berbahaya, takut (untuk kekalkan premis) sebab dekat dengan lokasi kejadian," katanya.

Pada Selasa, sebanyak lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan itu pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.38 petang dan seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Serdang bergegas ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!