PRN Johor: Kemenangan BN jadi isyarat kebangkitan pada PRU15
JOHOR BAHRU - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor cukup penting kepada parti bagi membolehkan kejayaan lebih besar diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan turut melihat kemenangan yang akan berpihak pada BN pada PRN itu boleh menjadi penanda aras dalam memastikan kebangkitan parti.
Menurutnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga turut menekankan tumpuan untuk memastikan kemenangan besar pada PRN kali ini melalui amanat disampaikannya sewaktu pertemuan bersama komponen BN Johor.
"Amanat Presiden tadi menggariskan hala tuju UMNO dan BN yang perlu menang besar di Johor.
"Ini kerana komposisi kaum di Johor adalah pelbagai dan berbilang seperti mana komposisi kaum di seluruh Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU).
"Kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor akan beri mesej dan isyarat terhadap keupayaan parti bagi menghadapi PRU nanti," katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Johor.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid meninggalkan Pejabat UMNO Johor selepas selesai pertemuan bersama komponen BN kerana difahamkan akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, BN perlu menang besar pada PRN Johor kali ini bagi membolehkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dapat dibentuk.
"Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah memilih waktu sesuai bagi PRN diadakan, jadi mengikut percaturan beliau ini adalah masa yang terbaik.
"Menerusi amanat Presiden dan Timbalan Presiden BN, kita dapat dengar hala tuju untuk parti menang pada PRN kali ini. Amanat yang disampaikan cukup terang dan BN perlukan sokongan daripada pelbagai kaum.
"Justeru itu, kita perlu sokongan dan pandangan setiap komponen parti BN bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti," katanya.
Ketua Pemuda MIC yang juga ADUN Tenggaroh berkata, BN tidak boleh terlalu yakin sebaliknya perlu bekerja keras bagi memenangi PRN kali ini.
Katanya, jentera parti perlu bertemu dan mendekati masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
"Sebuah kerajaan yang stabil perlu dibentuk di Johor, menerusi mandat rakyat. MIC sudah bersedia dengan jentera parti di setiap 450 cawangan di seluruh negeri.
"Dianggarkan lebih 2,000 ahli jentera parti akan membantu kempen sepanjang PRN. Selain itu jentera parti di peringkat pusat juga akan turut membantu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!