Simpan dadah dalam reban ayam

Hazri (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan senapang angin yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Rembau pada Rabu.
Hazri (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan senapang angin yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Rembau pada Rabu.
A
A
A

REMBAU - Penahanan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah pondok di kebun durian di Legong Jaya, Kota di sini telah membawa kepada penemuan dadah jenis ganja seberat tujuh kilogram yang disimpan di dalam reban ayam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada Isnin dalam Ops Tapis yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan juga Bahagian Siasatan Jenayah IPD selepas seminggu risikan dan pemantauan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superitendan Hazri Mohamad berkata, ketika ditahan, suspek mengaku bekerja sebagai penjaga kebun durian berkenaan sejak lapan bulan lalu.

"Ketika pemeriksaan lanjut dilakukan di sebuah reban ayam terletak kira-kira 30 meter dari pondok di kebun itu, polis menemui satu tong plastik berisi tujuh ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis.

"Turut ditemui ialah selaras senapang angin buatan sendiri bersama 21 biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang tersebut," katanya pada sidang akhbar di IPD Rembau pada Rabu.

Menurutnya, suspek mendakwa senapang itu digunakan untuk menembak tupai.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dari mana suspek memperoleh dadah berkenaan yang nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM10,000.

"Ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman tujuh hari sehingga 31 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B & Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1969 bagi kesalahan memiliki senjata buatan sendiri," katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis percaya masih ada suspek lain yang terlibat dalam kegiatan itu dan mengalu-alukan maklumat orang ramai dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!