Ancaman kapitalisme melampau
TRAGEDI pesawat Ethiopian Airlines terhempas di Addis Ababa 10 Mac lalu dan keracunan gas kimia di Pasir Gudang, Johor, adalah contoh kesan buruk kapitalisme yang melampau.
Kedua-dua malapetaka itu berpunca daripada perbuatan mencari keuntungan maksimum tanpa memikirkan kesan buruk terhadap masyarakat.
Sekiranya ada tempat untuk kemanusiaan dan timbang rasa kepada sesama manusia, dua kejadian itu mungkin tidak berlaku. Satu-satu jalan yang terbuka bagi menebus kesalahan yang meragut nyawa itu ialah dengan menjatuhkan hukuman yang paling berat yang diperuntukkan oleh undang-undang dan menutup perniagaan mereka.
Kita tidak boleh lagi melihat kemalangan dan kecelakaan, sama ada di darat atau udara, sebagai sesuatu yang ditakdirkan dan tidak mungkin boleh dielakkan. Memang prinsip kapitalisme membuat keuntungan. Lagi besar keuntungan lagi baik. Ini tidak salah kerana kapitalisme yang disertai oleh kemanusiaan boleh membawa kebaikan kepada semua pihak.
Yang menjadi masalah dan membawa padah seperti yang kita perhatikan sekarang ialah kapitalisme yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata - kapitalisme pengganas.
Malangnya itulah aliran yang kita lihat berlaku di dunia termasuk di negara kita sendiri. Kapitalisme sudah dibenarkan dan dihalalkan untuk menjadi the new religion (agama baharu) yang kejam.
Dalam kes pembuangan haram kimia beracun di Pasir Gudang, motivasinya tidak lain dan tidak bukan adalah memaksimumkan keuntungan. Sama ada yang melakukan jenayah itu kilang atau kontraktor pembuangan, tujuan mereka adalah untuk mengurangkan kos supaya keuntungan menjadi lebih besar.
Malangnya kita lihat ada kegagalan meluas (systemic) dalam kalangan jabatan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan memantau industri dan agensi kecemasan seperti polis, pertahanan awam dan kesihatan.
Kita terpaksa akui negara kita telah menjadi begitu kapitalis sehingga tidak ada apa lagi yang tidak diperdagangkan untuk membuat keuntungan sehingga mengorbankan identiti.
Lihat sajalah bagaimana kapal terbang, bas, kereta api dan macam-macam lagi ruang dijual untuk iklan semata-mata untuk menjana hasil serta keuntungan tambahan.
Hal ini tidak pun berlaku di negara kapitalis barat walaupun merekalah yang pengasas kapitalisme dunia. Sebaliknya mereka mengawal ketat dan mengenakan tindakan tegas ke atas syarikat dan individu yang melanggar undang-undang.
Ambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada ketika kerajaan dahulu cuba menimbus bangkai gajah 1MDB, pihak berkuasa Amerika mengambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak yang menggunakan duit curi 1MDB untuk melabur di negara mereka.
Dalam nahas udara syarikat penerbangan Ethiopia yang melibatkan pesawat jenis Boeing 737-8 Max buatan Amerika, Presiden Amerika sendiri, Donald Trump, mengumumkan yang semua pesawat jenis itu tidak dibenarkan terbang sehingga penyiasatan selesai dan langkah-langkah pembetulan dilakukan.
Daripada laporan media massa antarabangsa, terdapat unsur menyembunyikan fakta dengan tujuan menjimatkan kos dan melariskan penjualan pesawat jenis itu. Syarikat Boeing dikatakan telah menemui kekurangan dalam reka bentuk (design flaw) ketika menjalankan penerbangan ujian ke atas pesawat itu.
Dikatakan enjin pesawat dua enjin itu dipasang terlalu tinggi dan terlalu jauh dari badan menyebabkan ia tidak stabil ketika terbang naik dan mungkin tertegun (stall). Bagi mengatasinya, jurutera Boeing mencipta satu perisian komputer yang dikenali sebagai MCAS (Maneuvre Characteristics Argumentation System) bagi membantu juruterbang mengawal pesawat ketika terbang naik.
Tetapi hasil penyiasatan pesawat Lion Air daripada jenis yang sama yang jatuh ke laut sebaik saja terbang naik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sukaro-Hatta, Jakarta, 29 Oktober lalu, mendapati kemungkinan juruterbang “bertarung” dengan perisian komputer tersebut.
Laporan awal kemalangan di Ethiopia mendapati ada persamaan dalam corak penerbangan sebelum terhempas.
Dalam hal ini kita menyokong keputusan kerajaan kita untuk menimbang semula kontrak pembeli 25 buah pesawat jenis itu oleh Malaysian Airlines Berhad (MAB) adalah berpatutan. Pesawat itu dijangka mula diterima tahun depan.
Kesimpulannya, dalam kita mempromosikan ekonomi dan pembangunan negara dengan mengalu-alukan pelaburan swasta, kita janganlah mengabaikan aspek kemanusiaan dan kemasyarakatan.
Manakala matlamat pelabur adalah mencari keuntungan maksimum, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan kebajikan rakyat dan keselamatan alam sekitar tidak dirosakkan.
Wallahuaklam.
*Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!