Suami meninggal sebab sakit jantung, bukan dos penggalak: Rabunah

Rabunah (dua dari kanan) menerima FPM disampaikan oleh Harumaini (dua dari kiri) di rumahnya di Bukit Sentosa pada Rabu.
Rabunah (dua dari kanan) menerima FPM disampaikan oleh Harumaini (dua dari kiri) di rumahnya di Bukit Sentosa pada Rabu.
A
A
A

RAWANG - "Suami meninggal dunia sebab sakit jantung bukan sebab dos penggalak seperti tular di media sosial," kongsi, Rabunah Abdu Rashid, 49, balu kepada Hamsan Hashim, 54 yang meninggal dunia di sebuah restoran di Bukit Sentosa pada 19 Januari lalu.

Rabunah berkata, arwah suaminya menghidap masalah jantung sejak 10 tahun lalu namun tidak kronik dan masih boleh bekerja seperti biasa.

Menurutnya, pada hari kejadian suaminya sempat menjamah sarapan sebelum keluar ke tempat kerja sekitar jam 6 pagi.

"Masa itu saya sedang solat Subuh namun dengar motosikal arwah sudah dihidupkan untuk ke tempat kerja. Arwah sempat minum susu dan makan ubat sebelum meninggalkan rumah.

"Cuma sekitar jam 7 pagi sewaktu sedang kalut mahu menghantar anak ke sekolah, saya terima panggilan daripada seseorang memberitahu suami terjatuh di sebuah restoran dan dalam keadaan tidak sedarkan diri," kongsinya.

Dia menceritakan kejadian itu ditemui ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyampaikan cek faedah pengurusan mayat (FPM) di rumahnya di Bukit Sentosa pada Rabu.

Keratan berita Hamsan meninggal dunia dalam restoran.
Keratan berita Hamsan meninggal dunia dalam restoran.

Rabunah berkata, dia sempat ke lokasi kejadian dan mendapati suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta sedang menunggu pasukan perubatan tiba.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekitar jam 8.30 pagi, pasukan perubatan tiba dan mengesahkan suami telah meninggal dunia.

“Cerita tular mengatakan suami meninggal disebabkan suntikan vaksin penggalak adalah tidak benar kerana arwah memang mengidap sakit jantung serta darah tinggi.

“Saya reda dengan pemergian suami dan kini perlu meneruskan hidup serta memikirkan cara untuk menampung tiga anak kami yang masih bersekolah," katanya yang juga seorang suri rumah.

Hadir menyampaikan FPM kepada waris Allahyarham adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar diiringi Pengurus Perkeso Rawang, Khairul Mizan Md Said.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!