[VIDEO] Zii Jia dedah hasrat jadi pemain profesional sejak tahun lalu

ZII JIA FOTO: AFP
ZII JIA FOTO: AFP
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia, mendedahkan bahawa beliau memang sudah menyimpan hasrat untuk menjadi pemain profesional sejak setahun lalu.

Pemain berusia 23 tahun kelahiran Alor Setar itu berkata, hasrat itu tercetus sejak aksi tidak konsistennya pada tiga kejohanan di Thailand, bermula dengan Terbuka Thailand Yonex diikuti Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kesemuanya di Bangkok pada Januari 2021.

"Saya bertanya adakah ini pengakhiran?, Tetapi para jurulatih berkata ini adalah proses yang saya perlu lalui. Tetapi saya membuat keputusan muktamad untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas jelajah Eropah hujung tahun lepas alu,” katanya ketika temu bual bersama sebuah stesen televisyen berbayar pada Rabu.

Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, mengakui beliau memberikan alasan tekanan dan gaya hidup dengan disiplin yang ketat) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sebagai alasan untuk membuat keputusan itu kepada BAM.

Zii Jia turut mengesahkan beliau bakal menubuhkan pasukannya sendiri yang berpangkalan di Malaysia dan bergerak sebagai pemain profesional, selain berjanji memberikan komitmen untuk mewakili negara di kejohanan penting seperti Piala Thomas, Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ketika menghantar surat letak jawatan, saya dah bersedia dengan senario terburuk, untuk tidak dibenarkan beraksi untuk dua tahun. Tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menukar kerakyatan atau pergi luar negara,” katanya.

Jumaat lalu, BAM mengumumkan bahawa badan induk itu tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari, selepas juara Sukan SEA 2019 itu menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari.

Namun, pada Selasa, Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah memberikan lampu hijau kepada Zii Jia untuk beraksi sebagai pemain profesional, selepas menerima rayuan dan mengadakan perbincangan dengan pemain tinggi lampai itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!