[VIDEO] Pukat tunda, sampah punca kematian 12 penyu di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Penggunaan pukat tunda serta plastik hasil pembuangan sampah sarap menjadi penyebab utama kematian 12 ekor penyu di Terengganu sejak 3 hingga 25 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Ruzaidi Mamat berkata, situasi itu perlu diberi perhatian sewajarnya dan penguatkuasaan secara lebih meluas akan dilaksanakan bagi memastikan keadaan itu tidak berulang.
"Banyak sebab yang menyumbang kepada kematian penyu namun kita tidak menolak kemungkinan antara faktor utama berpunca daripada aktiviti perikanan di laut, salah satu daripadanya ialah operasi pukat tunda yang menyebabkan penyu terperangkap dan lemas di dalam pukat.
"Sebab itulah kita menggesa kepada semua nelayan untuk menggunakan sistem Peranti Penyisih Penyu (TED) bagi menyelamatkan reptilia itu.
"Penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih meluas akan dilakukan bagi memastikan penggunaan peranti ini dilakukan secara lebih konsisten," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Ruzaidi berkata, dua kes kematian penyu iaitu di Pantai Pulau Kerengga dan Pantai Kelulut di Marang berpunca daripada sampah (plastik) yang tersangkut dalam sistem pencernaan haiwan tersebut.
"Perkara ini sering kali diingatkan namun ia tetap berulang. Masyarakat perlu tahu apabila sampah dibuang ke dalam sungai, ia akan mengalir ke laut dan penyu-penyu serta hidupan marin lain akan memakan sampah sarap ini yang akhirnya menyebabkan mereka mati.
"Sebab itulah saya sering menegaskan, jangan jadikan laut sebagai tong sampah. Buang sampah di lokasi yang sesuai bagi menyelamatkan hidupan lain," katanya.
Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, analisis daripada data kematian penyu mendapati kadar kematian haiwan itu akan meningkat selepas musim tengkujuh iaitu antara Januari hingga Mac.
"Kematian penyu kali ini merupakan trend sama yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya dimana kita dapati kadar kematian penyu akan meningkat dalam tempoh tiga bulan selepas musim tengkujuh.
"Banyak faktor yang menjadi penyebab kematian penyu, selain lemas kerana terperangkap di dalam pukat, ombak kuat juga akan menyukarkan haiwan itu untuk mendapatkan oksigen. Ia salah satu sebab kadar kematian penyu meningkat selepas musim tengkujuh," katanya.
Sehingga kini, sebanyak 12 bangkai penyu ditemukan terdampar di kawasan pantai di Terengganu dimana kematian terbaharu membabitkan seekor penyu agar di Pantai Sura Hujung, Dungun pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!