Tembak rambang: Tindakan luar batas kemanusiaan

A
A
A

DUA insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang membunuh berpuluh jemaah ketika sedang solat Jumaat merupakan tindakan di luar kewarasan kemanusiaan. Sehingga artikel ini ditulis angka korban lebih 49 orang Islam dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Menurut sumber berita AFP dan CNN yang memetik kata Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, kumpulan bersenjata tersebut adalah pelampau sayap kanan yang memiliki kewarganegaraan Australia.

Walaupun siasatan masih lagi dijalankan, tindakan kejam yang sengaja ditujukan kepada penganut Islam itu dikatakan bermotif dan berbaur anti Islam. Ia merupakan usaha terancang. Namun, yang meningkatkan kemarahan adalah rakamam tembakan yang dibuat dan telah menjadi tontonan masyarakat dunia. Apa sebenarnya niat si durjana itu mendedahkan kegiatannya seolah-olah satu aksi dalam permainan “game”?

Sudah tentu, umat Islam dan Malaysia seharusnya mengutuk dan menyifatkan perbuatan itu sebagai melampaui batas kemanusiaan dan tidak boleh diterima masyarakat dunia. Pembunuhan zalim itu merupakan penganiayaan kepada umat Islam kesan daripada apa yang dikatakan sebagai Islamofobia yang ditaja oleh Barat.

Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001 yang meranapkan WTC.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam." Islamofobia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat. Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan juga dikenali mempunyai ideologi politik yang ganas daripada sebagai satu agama.

Justeru, kita sebagai umat Islam menggesa masyarakat dunia agar tidak menuding jari kepada orang Islam kerana wujud dalam kalangan bukan Islam di sana yang melakukan perbuatan melampau itu yang sama sekali dilarang oleh agama.Tindakan ini bertentangan dengan konsep Islamofobia yang sering dikaitkan dengan orang Islam sebagai zalim, bertindak agresif.

Malah, kebelakangan ini terlalu banyak ideologi yang ciri-cirinya berbentuk fahaman keras dan radikal ataupun ekstrem, bahkan berpotensi mempengaruhi masyarakat sekeliling kepada tindakan yang melampaui batas. Ia termasuklah berbentuk provokasi, ugutan, keganasan, penculikan, penderaan, rampasan, peperangan, pengeboman, pembunuhan dan sebagainya. Sasarannya lebih kepada tempat awam, rumah ibadah dan juga rekreasi.

Artikel Berkaitan:

Sebilangan masyarakat dunia luar terutamanya Barat sering melabelkan kelompok Muslim sebagai pengganas, dengan gelaran terrorist (teroris) mahupun extremist (ekstremis atau radikalis). Ia disebabkan oleh pendedahan pelbagai pihak media Barat berhubung kejadian keganasan di seluruh dunia yang kerap menuding jari kepada golongan Muslim sebagai pelakunya.

Golongan teroris ini juga seringkali disentimenkan oleh media Barat sebagai golongan pelampau agama. Label-label sedemikian masih boleh diabaikan oleh umat Islam secara dasarnya selagi mana sikap media Barat begitu berat sebelah dalam memainkan isu terorisme. Malah kegagalan Barat memberikan justifikasi tepat tentang terorisme yang dihubungkan dengan istilah ‘jihad’ merupakan satu bentuk manipulasi persepsi.

Istilah ‘terorisme’ disinonimkan maksudnya dengan penggunaan kekerasan dalam memastikan segala matlamat yang dikehendaki tercapai. Ia termasuklah melalui aktiviti penculikan, rampasan, pembunuhan dan peperangan. Semuanya dikategorikan sebagai ganas dan melampaui batas. Maka insiden tembakan rambang di masjid ini sebenarnya terorisme yang perlu mendapat balasan setimpal.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau pun menyebarkan rakaman video berhubung insiden tembakan berkenaan. Tindakan itu adalah perlu bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

SKMM juga menegaskan, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Menurutnya, suruhanjaya itu memandang serius perkara ini dan mana-mana pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Kita sebagai umat Islam semestinya simpati dan rasa terharu dengan terkorbannya saudara Islam di New Zealand. Namun, kita sepatutnya menghormati keluarga dan waris kepada mangsa pembunuhan berkenaan. Tindakan menyebar dan menviralkan video kejadian dianggap tidak menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terbabit.

*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!