'Walk-in' dos penggalak di empat PPV Integrasi Lembah Klang
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara 'walk-in' kepada penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi sekitar Lembah Klang bermula Khamis.
KKM dalam kenyataannya pada Rabu memaklumkan, perkhidmatan tersebut dibuat bagi mempertingkatkan kadar pengambilan dos penggalak selain memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum.
"Vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah keluaran AstraZeneca.
"Namun begitu, vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca," katanya.
KKM berkata, PPV Integrasi yang terlibat adalah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre Shah Alam dan Dewan Soka Gakkai, Klang.
Dalam pada itu KKM turut mengingatkan orang ramai yang ingin mendapatkan dos penggalak secara 'walk-in' perlu memastikan sijil vaksinasi digital MySejahtera telah lengkap bagi melancarkan proses pemberian vaksinasi.
Sementara itu seramai 11.1 juta individu atau 47.5 peratus daripada populasi orang dewasa berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
KKM berkata, pemberian vaksinasi dos penggalak di Sarawak mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus penduduk dewasa diikuti di Lembah Klang sebanyak 68.2 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!