Covid-19: Kluster pendidikan membimbangkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- Kluster pendidikan terus membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 107 kluster melibatkan 4,633 kes positif Covid-19 direkodkan bagi tempoh 1 hingga 25 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan tahun 2022 berbanding sesi persekolahan tahun sebelumnya.

"Pada Minggu Epidemiologi (ME) pertama tahun 2022, hanya terdapat tiga kluster pendidikan direkodkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 di mana 15 kluster telah direkodkan.

"Pada ME ke-3, KKM merekodkan peningkatan sebanyak 313 peratus," katanya.

Menurutnya, pada ME ke-4 sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan.

"Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster diikuti oleh kategori pendidikan lain 24.3 peratus, kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus) dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus)," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes atau 88.3 peratus telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes pula telah menerima dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan iaitu kategori satu dengan 99.7 peratus manakala 12 kes lagi terdiri daripada kategori tiga dan empat. Kesemua kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

"Juga didapati individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas, murid dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur, ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala selain sistem pengudaraan di kelas dan asrama kurang memuaskan," katanya.

Ujarnya, pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM.

Sekolah juga perlu melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti Covid-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dilakukan ke atas kontak rapat.

"Pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema.

"Pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes Covid-19 dan kontak rapat," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, individu yang layak untuk menerima vaksin Covid-19 dan dos penggalak adalah digalakkan untuk berbuat demikian.

"Ibu bapa juga diingatkan untuk memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!