Singapura keluarkan panduan perjalanan ke Ukraine
SINGAPURA - Singapura mengeluarkan garis panduan perjalanan meminta rakyatnya menangguhkan semua perjalanan ke Ukraine, oleh kerana kemungkinan Rusia menyerang negara bekas Soviet itu.
Rakyat Singapura di Ukraine dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau berita tempatan dengan teliti, kata Kementeria Luar Singapura (MFA) dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan mendaftar melalui eDaftar dengan MFA pada kadar segera di https://eregister.mfa.gov.sg jika belum berbuat demikian.
Kementerian itu juga berkata bahawa Singapura tidak mempunyai pejabat wakil diplomatik di Ukraine.
Rakyat Singapura di Ukraine yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat MFA 24 jam di talian +65 6379 8800/6379 8855 atau Faks: +65 6476 7302, katanya.
Dilaporkan bahawa Rusia baru-baru ini menempatkan puluhan ribu tenteranya berhampiran sempadan timur Ukraine, menimbulkan kebimbangan bahawa Kremlin merancang satu lagi serangan tentera terhadap Ukraine.
Moscow telah menafikan bahawa pihaknya siap siaga untuk menyerang dan berkata tenteranya berada di sana untuk sesi latihan ketenteraan, kata satu laporan.
Sementara itu, Amerika Syarikat pada Ahad secara rasmi mengarahkan ahli keluarga kakitangan kedutaan yang layak supaya meninggalkan Kyiv, Ukraine di tengah-tengah ketegangan berterusan antara Ukraine dan Rusia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!