Bina struktur tambahan tanpa kebenaran, surau terima notis MDHS
BUKIT BERUNTUNG - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan notis pemberhentian kerja pembinaan struktur tambahan di Surau Abu Othman Ali Basha, Apartment Teratai.
Pengurusan surau didapati menjalankan kerja pembinaan bagi pembesaran ruang solat terbuka di sisi kanan surau dan laluan masuk pintu kedua tanpa kebenaran.
Arahan pemberhentian kerja dikeluarkan pada 6 Mac lalu yang disertakan dalam notis kemukakan permohonan pelan bangunan dan diserahkan kepada pengerusi surau berkenaan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Bangunan MDHS, pihaknya menerima aduan melalui emel daripada seorang pengadu pada 22 Februari lalu berhubung perkara tersebut.
Katanya, terdahulu pada 12 Februari, pengerusi surau mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi membina tambahan ruang solat surau.
"Bagaimanapun, permohonan itu ditolak pada 7 Mac dengan alasan penolakan, pihak pengerusi surau dikehendaki melantik perunding.
"Sama ada arkitek atau pelukis pelan berdaftar (PSP) untuk mengemukakan permohonan pelan bangunan ke Bahagian Pusat Setempat (OSC) bagi pertimbangan MDHS sebelum pembinaan boleh dimulakan.
"Lawatan pemeriksaan tapak oleh Unit Teknikal Jabatan Bangunan dan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) pada 6 Mac jam 2.55 petang, mendapati memang terdapat kerja membina tambahan struktur tanpa mendapat kebenaran di tapak," katanya.
Jabatan tersebut berkata, susulan daripada lawatan itu, notis kemukakan permohonan pelan bangunan berserta arahan pemberhentian kerja dan aktiviti di tapak dengan serta-merta, dikeluarkan kepada pengerusi surau.
Menurutnya, pintu masuk ke tapak pembinaan ditutup oleh teknikal Jabatan Bangunan pada 7 Mac untuk tujuan keselamatan penduduk setempat.
"Laporan polis juga dibuat pada hari yang sama untuk mempertahankan MDHS daripada tuduhan pihak luar yang mana tindakan tersebut tidak melibatkan isu keagamaan dan perkauman.
"Tindakan sewajarnya diambil oleh pengurusan surau adalah melantik perunding atau arkitek (PSP) bagi mengemukakan permohonan pelan bangunan.
"Sebarang kerja pembinaan di tapak tidak dibenarkan dan tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya ingkar dengan arahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!