Tiada keperluan sekat rakyat ke New Zealand

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk menyekat perjalanan rakyat negara ini ke New Zealand, namun bagi yang berada di sana, mereka diingatkan agar elakkan berada di tempat awam buat sementara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata terdapat 1,256 rakyat Malaysia di Christchurch dan ekoran insiden keganasan di dua masjid di kawasan itu, semalam, langkah berjaga-jaga perlu diambil demi keselamatan masing-masing.

"Jika mereka (rakyat Malaysia di Christchurch) perlukan sebarang bantuan, segera hubungi kedutaan kita di sana dan marilah kita sama-sama doakan agar semuanya selamat di sana," katanya kepada pemberita semasa melawat keluarga Mohd Tarmizi Shuib, di Hutan Kampung dekat sini, semalam.

Mohd Tarmizi adalah antara tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, kelmarin, manakala anaknya dikenali sebagai Haziq, 17, masih belum ditemui sehingga kini.

Sementara itu, Marzuki berkata, kementeriannya menambah satu lagi tiket penerbangan ke New Zealand untuk anggota keluarga Mohd Tarmizi bagi membolehkan mereka bertemu dan memberi semangat kepada beliau di sana.

"Dua tiket dibiayai kerajaan Kedah dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena manakala satu lagi diuruskan pejabat Kementerian Luar dan mereka dijangka bertolak ke New Zealand pada Selasa ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!