PRN Johor: Amanah, PKR tanding 40 kerusi, DAP 16

Dua dari kanan Aminolhuda, Mohamad dan Hassan dalam program sarapan pagi bersama YB Mohd Sabu dan pemimpin masyarakat sebelum mengagihkan sumbangan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Khamis.
Dua dari kanan Aminolhuda, Mohamad dan Hassan dalam program sarapan pagi bersama YB Mohd Sabu dan pemimpin masyarakat sebelum mengagihkan sumbangan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan pembahagian semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP pula bertanding 16 kerusi.

"Persetujuan pembahagian kerusi tersebut diputuskan menerusi Majlis Presiden PH dalam satu mesyuarat yang diadakan kelmarin.

"Amanah dan PKR akan bertanding di kerusi campuran serta ada kawasan majoriti satu kaum manakala DAP kawasan bandar dan juga kawasan campuran. Ada juga kawasan mereka yang majoriti satu kaum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program sarapan pagi bersama YB Mohd Sabu, pemimpin dan masyarakat sebelum mengagihkan sumbangan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Permas Jaya di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Amanah Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Mohamad berkata, terdapat parti pembangkang lain yang bukan komponen PH mahu berbincang untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Katanya, jika dilihat mampu membawa faktor kemenangan, perkara tersebut akan dipertimbangkan termasuk membabitkan pengagihan kerusi.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, hasil perbincangan akan diputuskan dalam tempoh sehari dua ini dan PH terbuka dalam hal tersebut.

"Antara parti yang dimaksudkan termasuklah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Senarai calon bagaimanapun masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan buat waktu ini," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, Amanah Johor sudah mempunyai senarai semua 20 calon yang akan bertanding dan ketika ini menunggu pengesahan daripada kepimpinan pusat.

"Daripada 20 kerusi ditandingi, 14 kerusi akan ditandingi calon muka baharu manakala selebihnya calon lama.

"Jumlah kerusi yang kita tandingi pada kali ini lebih berbanding 12 kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!