'Terlalu awal bicara isu MB, menang PRN dulu'
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menganggap masih terlalu awal untuk komen desas-desus beliau merupakan calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Menteri Pendidikan yang menolak untuk memberikan sebarang komen berhubung perkara itu berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah menang PRN terlebih dahulu.
"Terlalu awal untuk bicara isu Menteri Besar. Fokus untuk memenangi PRN dahulu.
"Pelantikan Menteri Besar adalah kuasa mutlak Tuanku Sultan (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)," tulisnya ringkas dalam Twitter miliknya.
Maszlee mendakwa tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu sebaliknya hanya akan menurut arahan kepimpinan parti.
"Saya tiada info tentang apa yang diperkatakan (calon Menteri Besar). Saya hanya menurut arahan parti apapun keputusan kepimpinan," katanya.
Memetik laporan Astro Awni pada Rabu, Maszlee telah disebut-sebut sebagai antara nama calon Menteri Besar Johor seandainya PH memenangi PRN dan beliau berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi menewaskan pencabarnya, Murugan Muthu Samy (PH) dan Mohd Jubri Selamat (Pas) dengan majoriti tipis 364 undi.
Onn Hafiz merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan kini merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor.
Pada 27 November tahun lalu, Maszlee menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika beliau menghadiri program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Kluang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!