Polis Kelantan terima laporan pencerobohan hutan simpan kekal

Shafien (kanan) diriingi Shuhaimi (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Op Selamat 17/2022 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Tunjong, Kota Bharu pada Khamis. - Foto Sinar Harian
Shafien (kanan) diriingi Shuhaimi (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Op Selamat 17/2022 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Tunjong, Kota Bharu pada Khamis. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan menerima laporan berhubung kegiatan pencerobohan dan pembalakan haram yang didakwa berlaku di hutan simpan kekal (HSK) di pedalaman Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, laporan diterima daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sebahagian daripada penduduk kampung termasuk orang asli.

“Saya tidak nafikan ada beberapa laporan polis dibuat, cuma ketika ini tidak dapat jelaskan berapa jumlah laporan kesemuanya.

“Tetapi saya boleh sahkan ada beberapa laporan polis yang dibuat oleh NGO dan sebahagian daripada penduduk kampung,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Majlis Pelancaran Op Selamat 17/2022 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Tunjong di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh.

Mengulas lanjut, laporan yang dibuat melibatkan pecerobohan hutan dan pembalakan di HSK serta siasatan juga melibatkan agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

“Berdasarkan laporan yang dibuat, maka pasukan keselamatan tampil untuk membantu penduduk yang terkesan.

“Ada sebahagian laporan dirujuk kepada agensi-agensi yang berkenaan manakala polis pula menyiasat jika ada unsur-unsur jenayah dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, kawalan keselamatan terhadap penduduk di Pos Bihai, Gua Musang yang diancam dengan kemunculan harimau diteruskan menerusi penugasan anggota Senoi Praaq daripada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, penugasan turut dibantu oleh anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga bertindak memasang perangkap.

“Kawalan akan dijalankan secara terus sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan bagi membantu menjaga keselamatan penduduk setempat termasuk orang asli,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!