Rusia-Ukraine komited capai gencatan senjata di timur Kiev
PARIS - Wakil Moscow dan Kiev komited dengan gencatan senjata yang rapuh di timur Ukraine ketika rundingan di ibu kota Paris pada Rabu.
Sesi dialog berlangsung selama lebih lapan jam yang ditaja oleh Perancis dan Jerman itu dikatakan menunjukkan perkembangan positif walaupun rundingan pusingan seterusnya dijadualkan di Berlin pada pertengahan Februari.
Pembantu kanan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan fokus utama perbincangan itu adalah tentang usaha menyelesaikan pertempuran kumpulan pemisah di wilayah timur Kiev sejak 2014.
"Ia bagaimanapun tidak menyentuh tentang isu pencerobohan Rusia. Berdasarkan situasi semasa, rundingan itu berjalan baik," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Buat pertama kali sejak 2019, Moscow dan Kiev bersetuju untuk menandatangani kenyataan bersama dengan Paris dan Berlin berhubung konflik berterusan antara pasukan tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.
Kedua-dua pihak bertelagah itu komited untuk menghormati gencatan senjata tanpa syarat dan bersetuju untuk mengadakan pertemuan sekali lagi dalam tempoh dua minggu akan datang.
Difahamkan, keempat-empat negara tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Normandy telah berusaha untuk mencapai perjanjian damai di timur Kiev.
"Akhirnya kami berjaya mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara utama walaupun rundingan tersebut berdepan kesukaran sejak Disember 2019," jelas pembantu Macron itu lagi.
Sementara itu, wakil Kremlin, Dmitry Kozak menyifatkan ia bukan rundingan yang mudah dan berharap proses tersebut dapat mencapai kata putus pada sesi dialog seterusnya.
Perjanjian gencatan senjata pada 2014 yang diperkukuhkan pada 2020 membantu untuk menamatkan pertempuran sengit di dua wilayah timur Ukraine yang dikuasai puak pemberontak pro-Moscow yang telah meragut sekurang-kurangnya 13,000 nyawa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!