Bekas pekerja salun dipenjara tiga tahun, denda RM10,000

Bekas pekerja salun dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret sini pada Khamis. - Gambar hiasan
Bekas pekerja salun dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret sini pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bekas pekerja salun dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret sini atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian rakannya di Jambatan Pulau Pinang tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati, M Vaitheswaran gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ahzal Fariz turut memerintah lesen memandu Vaitheswaran, 24, digantung lima tahun dan sekiranya gagal membayar denda Vaitheswaran akan dikenakan hukuman penjara 12 bulan.

Dalam penghakimannya, Ahzal Fariz berkata, walaupun ia kes kemalangan jalan, namun tertuduh telah memandu kenderaan secara bahaya sehingga menyebabkan kematian dan patut dihukum dengan hukuman setimpal.

"Dalam kes ini, Mahkamah juga perlu memelihara kepentingan awam," katanya.

Peguam K Paramanathan yang mewakili tertuduh sebelum itu dalam rayuannya berkata, Vaitheswaran telah hilang pekerjaan dan tidak memiliki lesen memandu selepas dituduh tiga tahun lepas.

"Selepas kejadian yang menyebabkan kematian rakan sendiri, tertuduh trauma dan saya ingin memohon mahkamah jatuhkan hukuman paling rendah," katanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim memohon hukuman berat sebagai pengajaran supaya kesalahan tidak diulangi.

Mohammad Nazri berkata, atas faktor tertuduh tidak mengaku salah telah membuang masa dan kos mahkamah sejak dituduh pada 2019 dan tertuduh harus dihukum dengan hukuman berat.

Artikel Berkaitan:

Pada 2019, Vaitheswaran telah didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Moey di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Pada kejadian 2.54 pagi Ahad 2019 itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan, sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!