Matlamat Pembangunan Mampan perlu jadi keutamaan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri). - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri). - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu diutamakan dalam setiap perancangan dan dasar yang diputuskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi menangani isu pembangunan yang tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.

"Lebih-lebih lagi bagi mengelakkan tragedi sama berulang pada masa hadapan," katanya dalam ucapan perasmian Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG di Kementerian Kewangan (MOF), pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, penularan Covid-19 telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada impak jangka panjang atau bersifat kekal di seluruh dunia, sejak dua tahun lalu.

"Situasi ini disukarkan lagi dengan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan bukan sahaja harta benda, tetapi juga orang tersayang," katanya.

Tegas Ismail Sabri, pengabaian keseimbangan menyebabkan padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi ataupun mungkin lebih teruk lagi melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

"Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian dan sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG," katanya.

Beliau berkata, sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama menyumbang dan turut serta dalam melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat SDG menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

"Pada petang ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) atau individu di dalam dan di luar negara, untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Amanah MySDG," katanya.

Dana Amanah MySDG merupakan satu usahasama antara kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan untuk menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara bersepadu, sistematik dan mampan.

Kerajaan memperuntukkan RM20 juta sebagai dana permulaan Dana Amanah MySDG.

Dana Amanah MySDG ini juga merupakan satu mekanisme kewangan yang membolehkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, badan-badan korporat, agensi-agensi dari dalam dan luar negara serta individu untuk turut bekerjasama untuk mencapai matlamat SDG, selaras dengan semangat bersepadu dan pendekatan senegara Keluarga Malaysia.

Dana yang dikumpul akan disalurkan secara sistematik dan berintegrasi untuk membiayai dan saling menyokong program dan projek Kerajaan yang berorientasikan SDG di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, sebagai langkah pertama, sumbangan Dana Amanah MySDG menerima pengecualian cukai penuh sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan keseluruhan.

"Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif bersejarah ini.

Terima kasih kepada PPB atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!